Home Pertahanan dan Keselamatan Rempuh, baling bom petrol ke bot APMM, seorang nelayan penceroboh maut

Rempuh, baling bom petrol ke bot APMM, seorang nelayan penceroboh maut

by Nurulhuda

KOTA BAHRU, 17 Ogos – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) hari ini mengesahkan seorang nelayan lelaki warga Vietnam, maut terkena tembakan yang dilepaskan anggota APMM Kelantan, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob dalam kenyataan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 81 batu nautika dari perairan Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.

Beliau berkata, kedegilan 19 nelayan asing Vietnam untuk menghentikan bot mereka dan menyerah diri dengan bertindak agresif itu mengancam keselamatan nyawa anggota serta mencabar kedaulatan undang-undang negara ini.

“Dalam kejadian tersebut, tembakan amaran ke udara diberikan, namun mereka terus melemparkan beberapa bom diesel serta membaling getah yang dicucuh api ke arah bot Penyelamat 7 supaya bot itu terbakar,

“Tidak cukup dengan itu, objek keras juga dilempar bertalu-talu ke arah anggota hingga menyebabkan terdapat bahagian bot yang pecah,

“Kedua-dua bot nelayan terbabit bertindak semakin ganas dengan merempuh Bot Penyelamat 7,” jelasnya dalam hantaran di Facebook rasmi APMM.

Beliau berkata, akibat tindakan kedua-dua bot nelayan yang semakin ganas, anggota APMM yang bertugas terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan keselamatan anggota yang berada di atas bot terbabit.

“Salah seorang awak-awak Vietnam terkena tembakan dan akhirnya kedua-dua bot dapat ditahan oleh Bot Penyelamat 7,

“Kedua-dua bot dan 18 awak-awak ditahan termasuk satu yang maut dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Kelantan,

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta ke atas tekong dan RM 600 ribu ke atas awak-awak,

“Serta Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c) yang boleh membawa kepada denda RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada enam sebatan.,” tambahnya. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply