Home Pertahanan dan Keselamatan Zamrose, Ackbal terima pingat Panglima Setia Mahkota

Zamrose, Ackbal terima pingat Panglima Setia Mahkota

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 17 Ogos – Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Ackbal Abdul Samad TUDM dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan 2020 sempena ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, membabitkan keseluruhan 829 penerima.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Dr Arshad Ayub mendahului senarai tersebut dengan dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’.

Manakala Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dianugerahkan Panglima Mangku Negara (PMN) membawa gelaran Tan Sri.

Selain itu, 10 individu lain juga dianugerahkan PSM yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ iaitu bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Pahlawan Mazlan Mansor; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Pejabat Presiden Mahkamah Rayuan, Dato’ Rohana Yusuf; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Turut menerima PSM, Presiden Sunway Group Berhdap, Dato’ Chew Chee Kin; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria, Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Datuk Ahmad Nizam Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif The Lotus Corporation Berhad, Datuk R. Doraisingam; Pengarah Urusan Platinum Victory Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Gan Yu Chai; Pengasas dan Pengarah Urusan SENA Group of Companies yang juga Pengasas dan Pengarah Optimax Holding Berhad, Dato’ Tan Boon Hock.

Di samping itu, 29 individu lagi menerima Pingat Jasa Negara (PJN) dan 5 dikurniakan Panglima Setia Diraja (PSD) masing-masing membawa gelaran ‘Datuk’.

Tahun ini juga menyaksikan seramai 27 individu dikurniakan Johan Mangku Negara, Johan Setia Mahkota (38), Kesatria Mangku Negara (147), Kesatria Setia Diraja (11), Ahli Mangku Negara (182), Pingat Pangkuan Negara (328) dan Pingat Bentara Setia Diraja (44). – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply