Home Semasa 55 premis gagal sedia maklumat keluar masuk antara 129 di kompaun

55 premis gagal sedia maklumat keluar masuk antara 129 di kompaun

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengesahkan seramai 129 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 20 individu telah direman manakala 109 individu pula dikenakan kompaun.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub /kelab malam (21), gagal menyediakan peralatan/ catitan keluar masuk (55), gagal memakai sarung tangan semasa menggunting rambut pelanggan (1), tidak memakai pelitup muka (21) serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakkan sosial (31).

Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut berkata, PDRM telah membuat 65 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng di seluruh negara semalam.

“Operasi yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) telah memeriksa 25,368 buah kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama di lorong tikus,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengesahkan, pihak polis telah mengadakan 914 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing., semalam.

“Sejak 24 Julai sehingga 14 Ogos 2020, seramai 11,236 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 60 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di seluruh negara,

“Daripada jumlah itu, seramai 44 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 2,992 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,

“Kesemua individu yang dikuarantin telah mematuhi SOP yang ditetapkan,

“PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply