Home Semasa Orang Melayu Burma ceroboh, duduki secara haram di Bukit Malut

Orang Melayu Burma ceroboh, duduki secara haram di Bukit Malut

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Kawasan penempatan haram di Bukit Malut, Langkawi tidak terletak dalam rezab hutan paya bakau atau Hutan Simpan Bukit Malut di Langkawi.

Menteri Tenaga dan Sumber, Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah sebaliknya berkata, kawasan penempatan tersebut terletak dalam tanah kerajaan yang telah diberi hak milik sementara oleh kerajaan negeri Kedah kepada Permodalan Kedah Berhad dengan tempoh pajakan selama 99 tahun.

“Pihak kementerian ingin mengesahkan bahawa memang terdapat Hutan Simpan Bukit Malut di Langkawi di mana hutan simpan dengan keluasan 1,208 hektar ini telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) oleh kerajaan negeri Kedah pada 30 Julai 1953,

“Hutan ini merupakan kawasan Hutan Perlindungan yang dikelaskan sebagai Hutan Tadahan Air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau dalam masa yang sama, menegaskan bahawa kerajaan negeri Kedah dengan kerjasama jabatan dan agensi lain yang berkaitan dalam usaha untuk menangani masalah tersebut.

“(Ini) termasuklah dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memindahkan penduduk yang tinggal secara haram di kawasan tersebut ke kawasan baharu,”jelasnya.

Dr Shamsul menjelaskan bahawa status terkini pemeliharaan Hutan Simpan Bukit Malut masih dalam keadaan terkawal walaupun terdapat sedikit kesan pencerobohan untuk pemilikan tanah.

“Sehubungan itu, kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah akan sentiasa membuat pemantauan di kawasan berkenaan bagi mengelakkan berlakunya pencerobohan baharu,

“Tindakan tegas mengikut kuasa yang diperuntukkan dalam Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) akan diambil terhadap penceroboh,” tambah Dr Shamsul.

Baru-baru ini media telah menyiarkan artikel berhubung desakan penduduk tempatan yang mahukan kawasan itu dibersihkan dari menjadi kawasan penempatan bagi penduduk pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sehingga kini, dianggarkan penempatan tersebut mempunyai kira-kira 1,000 buah rumah merangkumi hutan paya, pesisir laut dan lereng bukit dengan jumlah penduduk dikatakan sudah melebihi 10,000 orang.

Isu Bukit Malut merupakan permasalah yang berlarutan di Langkawi. Penempatan ini didakwa dihuni oleh masyarakat Melayu Burma dan sebilangan pendatang asing tanpa izin (PATI). -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply