Home Semasa COVID-19: Dua kluster baharu di Johor dan Sarawak

COVID-19: Dua kluster baharu di Johor dan Sarawak

by Nor Azlan Mohd Nor

PUTRAJAYA, 25 Julai – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan kewujudan dua kluster baharu COVID-19 di negara ini.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, kluster tersebut di kesan di Johor dan Sarawak.

Kluster pertama, Kluster Bukit Tiram melibatkan dua pesakit COVID-19 yang hadir ke sebuah pusat keagamaan di Taman Bukit Tiram.

“Kedua-dua kes positif yang dikesan dalam kluster bukan warganegara yang menetap di Malaysia dan merupakan kakitangan pusat tersebut,

“Mereka telah mula mengalami gejala pada 15 Julai lalu namun tidak mendapatkan rawatan segera di mana-mana fasiliti kesihatan,

“Kedua-dua pesakit ini telah melakukan saringan kesihatan dan dikesan positif pada 24 Julai lalu,” jelas Noor Hisham.

Beliau menambah, kluster ini mempunyai 2 kes positif dan 10 kontak rapat yang telah dikenal pasti.Kesemua kontak rapat telah menjalani saringan dan sedang menunggu keputusan semetara aktiviti pengesanan kontak lain diteruskan.

Sementara itu, Sarawak mencatatkan satu lagi kluster baharu yang dikenali sebagai Kluster Syarikat Pembinaan Kuching.

Menurut Noor Hisham, kes pertama kluster ini merupakan pesakit COVID-19 yang dikesan pada 11 Julai lalu.

“Melalui siasatan yang telah dijalankan, sebanyak 55 kontak rapat telah dikenalpasti melibatkan rakan serumah dan rakan sekerja,

“Kesemua kontak ini telah disaring dan didapati negatif COVID-19,” katanya.

Pihak CPRC Kebangsaan pula melaporkan terdapat 24 kluster yang sedang aktif di seluruh negara sehingga hari ini.

Sementara itu, Malaysia telah mencatatkan 23 kes jangkitan baharu dengan 6 daripadanya merupakan kes import sementara 17 lagi kes penularan dalam negara.

“Kes import melibatkan 4 rakyat Malaysia dan 2 warga asing yang dibenarkan masuk ke negara ini di atas urusan kerja,

“Kes penularan tempatan pula melibatkan 10 rakyat Malaysia dan 7 warga asing,” jelasnya.

Seramai 17 pesakit telah pulih dan tiada kes kematian baharu dilaporkan pada hari ini.

Sehingga kini, Malaysia telah mencatatkan 8,884 kes COVID-19 dengan bilangan kes aktif sebanyak 167 kes – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply