Home Semasa Kerajaan bawa pulang jemaah tabligh Malaysia di India secara berperingkat

Kerajaan bawa pulang jemaah tabligh Malaysia di India secara berperingkat

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 18 Jul – Wisma Putra dengan kerjasama Perwakilan Malaysia di India akan terus menyelaraskan usaha membawa pulang baki jemaah tabligh yang masih berada di India, secara berperingkat.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam kenyataan berkata, maklumat mengenai misi pulang jemaah tabligh yang seterusnya, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Seramai 96 rakyat Malaysia yang terkandas di India akibat penularan pandemik COVID-19 telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi tadi,

“Kesemua mereka yang pulang menaiki sebuah pesawat sewa khas yang diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra),

“Daripada 96 orang ini, 62 orang merupakan sebahagian jemaah tabligh rakyat Malaysia yang telah terkandas di India sejak Mac lalu,

“Manakala baki 34 orang rakyat Malaysia yang turut menaiki pesawat bukan jemaah tabligh,” katanya.

Hishamuddin berkata, kesemua jemaah tabligh itu ditahan oleh pihak berkuasa India atas tuduhan penyalahgunaan visa lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti keagamaan.

“Walau bagaimanapun, sebahagian besar telah menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada tuduhan tersebut,

“Setibanya di KLIA, kesemua mereka dibawa ke Pusat Kuarantin di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari,”tambah Hishammuddin.

Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan India kerana telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Malaysia dalam usaha membantu rakyat yang terkandas di sana. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply