Home Semasa Op Benteng: 5 PATI Indonesia ditahan guna ‘teksi air’ cuba masuk ke Malaysia

Op Benteng: 5 PATI Indonesia ditahan guna ‘teksi air’ cuba masuk ke Malaysia

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 15 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor berjaya mengagalkan cubaan 5 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia masuk ke Malaysia menggunakan teksi air di perairan Tanjung Piai, semalam.

Pengarah APMM negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, sebuah bot gentian yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan telah ditahan di kedudukan 5.0 batu nautika tenggara Tanjung Piai sekitar jam 6.20 petang.

“Bot ronda APMM yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Benteng Laut 1/2020 di perairan Johor Barat telah menahan 5 PATI tersebut,

“Hasil pemeriksaan mendapati, seorang tekong dan kru bersama tiga penumpang yang mana kesemuanya lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 36 hingga 48 tahun berada di atas bot berkenaan,” katanya.

Menurut Aminuddin, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke ibu pejabat APMM negeri Johor dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 44(3) Akta Kastam 1967 kerana membawa penumpang tanpa manifest yang sesuai baginya, Seksyen 6(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa permit masuk yang sah dan Seksyen 6(1)(c) kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen yang sah.

Dalam pada itu, APMM menyeru mana-mana individu yang ingin keluar atau masuk ke negara ini menggunakan laluan atau jalan yang sah dan selamat.

“Sebarang aduan jenayah maritim salurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply