KUALA LUMPUR, 1 Jul – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi dan memberi ruang terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara ini.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang bersekongkol dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang negara.
“Buat masa ini, siasatan terperinci sedang dijalankan dan pihak kami (ATM) masih memantau setiap masa sekiranya masih ada lagi anggota yang terlibat atau sebagainya,
“Kita tidak akan memberi peluang dan ruang kepada mereka yang terlibat, kita tidak akan berkompromi, yang salah tetap salah. Tidak sepatutnya mereka (anggota tentera) melakukan aktiviti seperti itu,
“Saya berharap tidak ada lagi penglibatan pegawai mahupun anggota yang terlibat dalam aktiviti yang boleh mencemarkan nama baik ATM di masa akan datang,” kata Affendi selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pakaian Pelindung Diri (PPE) dan pelitup muka, di Wisma Pertahanan, hari ini.
Affendi turut menegaskan penglibatan anggota ATM dalam Operasi (OP) Benteng akan diteruskan dan dipertingkat bagi mengekang kemasukan PATI terutama di lorong tikus.
“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Op Benteng masih giat dijalankan bagi menghalang aktiviti penyeludupan PATI. Setiap hari terdapat tangkapan ke atas PATI dan tekong-tekong yang terlibat,
“Dalam operasi tersebut (Op Benteng), kita banyak menghalang aktiviti penyeludupan. Seperti awal minggu ini, kita (ATM) telah berjaya menahan dan marampas cubaan untuk menyeludup barangan keperluan dari Malaysia ke luar atau dari luar masuk ke Malaysia,
“Saya amat berpuahati dengan usaha yang dilakukan oleh agensi penguatkuasa samaada ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang bertungkus-lumus dalam menguatkuasakan operasi ini.
Beliau juga berharap dengan adanya operasi seperti ini dan komitmen yang tinggi dari agensi serta anggota terlibat dapat sama-sama mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan dalam membanteras kemasukan PATI.
Terdahulu, ATM menerima sumbangan 15,000 set PPE dan 1 juta keping pelitup muka daripada Syarikat Pt Bayan Resources bagi membantu petugas barisan hadapan bagi keperluan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan yang bertugas menangani penularan wabak COVID-19.
Turut hadir, Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Pahlawan Redzuan Baharuddin dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Leftenan Jeneral Dato’ Pahlawan (Dr.) Md Amin Muslan. -airtimes.my