Home Pertahanan dan Keselamatan ATM patahkan cubaan PATI seludup barang terkawal di lorong tikus

ATM patahkan cubaan PATI seludup barang terkawal di lorong tikus

by Nurulhuda

BAU, 30 Jun – Pendatang asing tanpa izin (PATI) berputih mata apabila cubaan mereka untuk menyeludup barangan terkawal dan pembinaan jambatan kayu berhampiran sempadan Sarawak-Kalimantan telah digagalkan oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pada Ahad lalu.

Markas Divisyen Pertama Infantri dalam kenyataan berkata, cubaan penyeludupan dan pembinaan jambatan kayu sebagai laluan keluar masuk itu telah dikesan oleh anggota tentera dari Rejimen ke-4 Kor Armor Diraja (4 KAD) yang sedang membuat rondaan keselamatan di Kawasan Empaling, Kg Stass, Sarawak, iaitu jarak 50 meter dari Sempadan Malaysia/Indonesia.

“Melalui pemerhatian, didapati sebuah kenderaan jenis pacuan 4 roda, 4 buah lori dan 10 orang dipercayai PATI sedang memunggah barangan runcit seperti telur, sayur dan baja di lorong tikus tersebut,

“Semasa kejadian, sebuah jengkaut jenis Hitachi juga sedang membuat jalan di lorong tikus berkenaan,

“Serbuan dilaksanakan mengakibatkan kesemua PATI bertempiaran lari ke sempadan Indonesia. Kesemua barangan dan kenderaan telah ditahan dan dirampas,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Lokasi serbuan pasukan 4 KAD yang terletak kira-kira 50 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia di Bau pada Ahad. – Gambar ihsan 1 Div

Tambahnya, kesemua barangan dan kenderaan yang dirampas iaitu 4 buah lori, sebuah pacuan 4 roda, sebuah jengkaut, barangan terkawal seperti telur, sayur, baja dan kayu bernilai hampir RM400,000.00.

“Seorang warga tempatan yang juga merupakan tuan tanah dipercayai turut bersubahat selaku tekong darat dengan membenarkan aktiviti jenayah rentas sempadan dijalankan turut ditahan dan dibawa ke Balai Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bau, bagi siasatan lanjut,” katanya lagi. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply