Home Semasa Anak jati Pasir Mas dilantik Mufti Wilayah Persekutuan

Anak jati Pasir Mas dilantik Mufti Wilayah Persekutuan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Anak jati Pasir Mas, Kelantan, Dr Luqman Abdullah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan ke-8 yang baharu berkuatkuasa 15 Mei 2020 hingga 14 Mei 2022.

Dr Luqman merupakan seorang Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM). Beliau telah memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti of Edinburgh, Scotland pada tahun 2005 dalam bidang Undang-undang Harta Islam.

Beliau juga anak kepada ulama terkenal iaitu Allahyarham Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi hantaran Facebook rasminya mengumumkan pelantikan tersebut hari ini.

“Alhamdulillah, pada pagi ini selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, saya menerima kunjungan Sahibus Samahah Dr Luqman Tuan Guru Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan ke-8 yang baharu dilantik,

“Majlis serah terima tugas berlangsung dalam suasana yang ringkas dan mahabbah,

Dr Zulkifli berkata 6 tahun memegang jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan telah memberi pengalaman baharu yang amat bermakna.

“Saya mohon maaf kepada semua umat Islam di Wilayah Persekutuan dan Malaysia amnya sekira terdapat tutur kata, tindakan mahupun apa jua salah dan silap sepanjang 6 tahun sebelum ini,”

Beliau yakin dengan kemampuan Dr Luqman untuk memimpin institusi fatwa di Wilayah Persekutuan yang pastinya akan memberi manfaat besar kepada umat Islam.

“Saya berdoa kepada Allah SWT semoga dikurniakan kekuatan kepada Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan agar dapat melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin,”

Dr Luqman dilahirkan pada 12 September 1969 di kampung Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan.

Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan Lemal, Pasir Mas (1976-1980); sekolah menengah Ugama (Arabiah), Pasir Mas (1981-1986); Pra Akademik Islam Universiti Malaya Nilam Puri (1987-1989) dan peringkat Sarjana Muda di Fakulti Syariah, Akademik Islam Universiti Malaya (1989-1993). Pernah mengikuti pengajian Undang-undang Perbandingan di UIA (1994-1995).

Selain dari itu beliau telah mendapat pendidikan di Pondok Lubok Tapah di bawah bimbingan ayahanda beliau sendiri, Al Marhum Tuan Guru Haji Abdullah dari peringkat bawah sehinggalah peringkat tinggi dalam bidang nahu, saraf, fiqh, usuluddin, tafsir, hadis, mantiq dan balaghah. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply