KUALA LUMPUR, 16 Mei – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan seramai 113 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Selayang Baru pada 14 Mei lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi yang bermula jam 9.00 pagi, seramai 210 pegawai dan anggota JIM telah membuat serbuan di penempatan warga asing itu.
“Operasi serbuan itu juga dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), anggota Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan kakitangan Majlis Keselamatan Negara (MKN),
“Kawasan ini menjadi tumpuan tempat tinggal warga asing yang majoritinya bekerja di kawasan pasar borong Selayang,” katanya.
Menurut Khairul Dzaimee, seramai 1,683 warga asing telah diperiksa.
“Hasil dari pemeriksaan yang dilakukan, seramai 113 telah ditahan serta dibawa untuk proses dokumentasi di JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta,
“Mereka yang ditahan ini terdiri daripada 63 warga Indonesia, Myanmar (22 orang), India (19), Bangladesh (6), Pakistan (2) dan Nepal (1). Jumlah tahanan ini terdiri daripada 66 orang lelaki, 36 orang wanita dan 11 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan,” ujarnya.
Artikel berkaitan: 230 anggota Imigresen gempur, tangkap PATI di zon PKPD Selayang Baru
Tambahnya lagi, semua warga asing yang diperiksa dan yang ditahan telah disahkan negatif COVID-19 oleh KKM.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, memiliki dokumen (pas/permit) palsu dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,
“Kesemua mereka akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,
“Mereka semua akan diusir ke negara asal setelah menjalani hukuman dan akan disenarai hitamkan,” tegas Khairul Dzaimee.
Beliau menambah majoriti warga asing di kawasan Selayang Baru terdiri dari etnik Rohingya yang memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR). – airtimes.my