Home Pertahanan dan Keselamatan 230 anggota Imigresen gempur, tangkap PATI di zon PKPD Selayang Baru

230 anggota Imigresen gempur, tangkap PATI di zon PKPD Selayang Baru

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Seramai 230 anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah melakukan serbuan menangkap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Selayang Baru, hari ini.

Tinjauan Air Times di lokasi serbuan mendapati operasi telah bermula seawal 9.30 pagi.

Anggota penguatkuasa yang terlibat dalam operasi serbuan di Selayang Baru turut dilengkapi dengan pakaian pelindungan diri bagi menggelakkan jangkitan COVID-19. Foto: Air Times

Selain JIM, operasi ini turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), RELA, Majlis Perbandaran Selayang dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ketika serbuan dijalankan, anggota penguatkuasa yang dilengkapi dengan pakaian pelindungan diri (PPE) melakukan pemeriksaan di setiap unit bangunan yang terlibat.

Selain itu, anggota tentera dan polis turut mengadakan kawalan di laluan keluar masuk ke Jalan Besar Selayang Baru.

Anggota Tentera Darat Malaysia turut dilihat melakukan kawalan dan rondaan di kawasan serbuan. Foto: Air Times

Media dan orang awam tidak dibenarkan memasuki ke kawasan kejadian semasa operasi dijalankan.

Operasi berakhir kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari dengan kenderaan penguatkuasa serta lori membawa tahanan PATI keluar dari zon serbuan.

Sehingga berita ini ditulis, JIM belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung operasi tersebut.

Selayang Baru merupakan zon PKPD ketujuh yang diisytiharkan oleh kerajaan pada 25 April lalu dengan melibatkan 6 bahagian parcel (kawasan).

Operasi tamat sebaik sahaja PATI dibawa keluar oleh Jabatan Imigresen Malaysia kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari. Foto: AirTimes

 

PKPD di dua kawasan itu iaitu Parcel A dan  Parcel B telah ditamatkan pada 12 Mei.

Sementara itu, tempoh PKPD di empat kawasan lagi dilanjutkan sehingga ke satu tarikh yang akan diputuskan oleh kerajaan. – AirTimes

Related Articles

1 comment

Imigresen tahan 113 PATI di PKPD Selayang Baru – Air Times News Network 16 May 2020 - 3:25 pm

[…] Artikel berkaitan: 230 anggota Imigresen gempur, tangkap PATI di zon PKPD Selayang Baru […]

Reply

Leave a Reply