Home Pertahanan dan Keselamatan TLDM terima 6 UAV ScanEagle 2 dari AS perkukuh pertahanan maritim negara

TLDM terima 6 UAV ScanEagle 2 dari AS perkukuh pertahanan maritim negara

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia akan menerima 6 buah pesawat tanpa pemandu (UAV) Insitu ScanEagle 2, hari ini.

Kedutaan Amerika Syarikat dalam satu kenyataan di laman sosial rasminya berkata, UAV yang diterima akan mempertingkatkan keupayaan TLDM dalam mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia.

“Amerika Syarikat dan Malaysia telah berkerjasama selama lebih 60 tahun terutamanya dalam bidang keselamatan serta pertahanan. Kerjasama ini telah memberikan manfaat kepada kedua-dua negara,

“Penyerahan secara rasmi UAV ini akan dilakukan pada tahun ini,” jelasnya.

Pakej UAV Insitu ScanEagle 2 telah tiba di Malaysia dengan menggunakan pesawat. Foto: Kedutaan Amerika Syarikat

Difahamkan, keenam-enam dron ini merupakan sebahagian daripada 12 dron yang diberikan kepada TLDM oleh Amerika Syarikat melalui program Maritime Security Initiative (MSI). Kesemua dron ini akan dioperasikan oleh Skuadron 601 TLDM bagi melakukan rondaan udara di kawasan maritim.

MSI merupakan program yang dilancarkan oleh Ashton Carter yang pada ketika itu memegang jawatan Ketua Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat pada 2015.

Di bawah program ini, Pentagon telah memperuntukkan sebanyak 34 ScanEagle2 untuk program MSI dari Insitu yang merupakan sebuah syarikat subsidiari Boeing.

Malaysia dan Amerika Syarikat telah menjalinkan kerjasama pertahanan selama 60 tahun. Foto: Kedutaan Amerika Syarikat

Selain Malaysia, Amerika Syarikat turut menyerahkan UAV ini kepada Indonesia, Filipina, dan Vietnam.

Malaysia merupakan penerima terbesar bantuan ini dengan peruntukkan sebanyak 12 UAV. Sementara itu, Indonesia dan Filipina akan masing-masing akan menerima 8 buah ScanEagle2. Vietnam pula akan menerima 6 buah UAV.

Sebelum ini, penyerahan kesemua UAV ScanEagle 2 dirancang dilakukan secara berperingkat pada tahun 2019 dan 2022.

 

Related Articles

Leave a Reply