Home Semasa COVID-19: 18 kes baharu positif melibatkan rakyat Malaysia pulang dari luar negara

COVID-19: 18 kes baharu positif melibatkan rakyat Malaysia pulang dari luar negara

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 21 Apr – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan 18  kes positif COVID-19 melibatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkara tersebut telah dijangka, memandangkan lebih daripada 180 buah negara di seluruh dunia telah terkesan akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata, daripada 57 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 18 adalah kes import adalah warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara. Manakala 39 kes adalah penularan tempatan.

“Dalam tempoh lebih dua minggu sejak 3 April lalu seramai 12,160 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantinkan,

“Daripada jumlah tersebut seramai 7,910 individu telah disaring dan 77 orang mereka positif COVID-19,

“Tindakan proaktif tersebut menyaksikan peningkatan jumlah kes yang dilaporkan di negeri di mana mereka dikuarantinkan.

“Misalnya peningkatan 37 kes di Melaka, 32 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga kes di Sarawak, tiga kes di Johor, dan dua kes di Selangor. Kes-kes positif ini telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital,” kata Dr. Noor Hisham dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sebagai salah satu aktiviti pengesanan jangkitan COVID-19, KKM telah menjalankan persempelan daripada pesakit yang mempunyai gejala Influenza Like Illness (ILI) / Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di hospital dan klinik KKM sejak 2 Februari 2020.

“Selain itu, KKM juga telah menggunakan aktiviti pendekatan tertumpu (targeted approach) untuk membendung penularan jangkitan COVID-19,

“Antara aktiviti yang dilakukan adalah pengesanan di kalangan kumpulan berisiko tinggi (misalnya sekolah tahfiz dan pekerja warganegara asing) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mana bancian penduduk dan Active Case Detection (ACD) dijalankan dari rumah ke rumah,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham turut menjelaskan tiga kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Kebangsaan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 92 kes (1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),

“Manakala bagi kes yang telah pulih pada hari ini dan dibenarkan keluar pula adalah sebanyak 54 kes,

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pelih sepenuhnya adalah sebanyak 3,349 kes,” katanya.

Berikut adalah laporan terperinci kes kematian di negera ini:

  • Kes kematian ke-90 (kes ke-2,050) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau adalah ibu kepada kes ke-2,053 (yang turut mempunyai gejala pada hari yang sama). Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 20 April 2020 jam 1.47 tengah hari.
  • Kes kematian ke-91 (kes ke-4,090) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 6 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 21 April 2020 jam 2.28 pagi.
  • Kes kematian ke-92 (kes ke-5,332) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 92 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dementia. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-4,711. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 8 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 21 April 2020 jam 1.30 pagi.

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply