Home Semasa COVID-19: Kerajaan isytihar Masjid India, kawasan sekitar zon PKPD ke – 5

COVID-19: Kerajaan isytihar Masjid India, kawasan sekitar zon PKPD ke – 5

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 14 Apr – Kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang Kelima di sekitar kawasan Masjid India, Kuala Lumpur bermula hari ini sehingga 28 April 2020.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penguatkuasaan PKPD itu termasuklah Jalan Munsi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang di sekitar Masjid India.

Beliau berkata langkah itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati pertambahan jumlah kes positif COVID-19 di kawasan berkenaan.

“Kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan juga telah memutuskan untuk melaksanakan arahan PKPD Kelima (Enhanced Movement Control Order) di Masjid India, Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan sekitarnya,

“Prosedur operasi (SOP) penguatkuasaan PKPD di Masjid India ini adalah sama seperti prosedur PKPD yang telah digunapakai di empat kawasan terdahulu,” jelas Ismail Sabri pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai PKP, hari ini.

Ismail Sabri turut menyeru semua penghuni di kawasan yang terlibat untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

Kawasan sekitar Masjid India merupakan PKPD ke lima selepas PKPD Hulu Langat, PKPD Simpang Renggam, PKPD Menara City One, dan PKPD Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Malayan Mansion.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata tempoh PKPD untuk PKPD Hulu Langat telah ditamatkan hari ini, namun ia tidak termasuk dua kawasan yang dikenal pasti iaitu Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah, serta sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar, Sungai Lui.

Selain itu, katanya lagi, tempoh PKPD yang lain akan berterusan sehingga 28 April ini ekoran peningkatan kes positif di kalangan penduduk di kawasan berkenaan. – AirTimes

 

 

Related Articles

Leave a Reply