Home Pertahanan dan Keselamatan Kemasukan pendatang asing tanpa izin rumitkan situasi COVID-19 di Malaysia – MCCF

Kemasukan pendatang asing tanpa izin rumitkan situasi COVID-19 di Malaysia – MCCF

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 14 Apr – Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak hari ini menegaskan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) boleh menyebabkan situasi wabak COVID-19 negara ini menjadi lebih rumit.

“Kemungkinan besar memang ada kluster baru dari kalangan PATI yang akan lebih menyukarkan pihak kerajaan untuk mengesan mereka,

“PATI sering berpindah tempat di kalangan penempatan komuniti warga asing,” kata Halim kepada Air Times pada hari ini.

Beliau berkata, isu penglibatan PATI dalam acara acara Ijtimak Tabligh di Sri Petaling perlu dijadikan sebagai iktibar.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak.

“Hampir 4000 orang warga asing dan PATI yang menyertai acara Ijtimak Tabligh di Sri Petaling masih belum dapat dijejaki dan disaringkan kerana mereka tiada dokumen,” jelas Halim.

Beliau menambah, masalah penghijrahan PATI ke negara ini akan bertambah terutamanya selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia tamat.

“Saya risau masalah penghijrahan PATI akan bertambah terutamanya kemasukan dari Indonesia,

“Mereka menggunakan jaringan sindiket penyeludupan manusia dari kedua-dua negara. Ini melibatkan tekong darat, tekong laut dengan merasuah pegawai2 kerajaan yang bertugas,” tegasnya.

Selain itu, beliau turut menyatakan kerajaan Indonesia tidak menggalakkan rakyatnya pulang ke negara itu.

“Kerajaan Indonesia tidak mengalakkan rakyatnya yang berkerja untuk pulang ke Indonesia bagi mengelakan penularan wabak Covid-19 di negara mereka,

“Menurut rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia yang menghubungi saya baru2 ini,

kerajaan Indonesia membenarkan rakyatnya untuk keluar dari negara itu,” jelas Halim lagi.

Isu kebanjiran warga asing di negara ini menjadi tumpuan terutamanya semasa PKP dilaksanakan di negara ini semenjak 18 Mac lalu.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan terdapat beberapa pusat tahfiz tidak berdaftar yang melibatkan pelarian warga asing telah dikesan menghadiri perhimpunan di Sri Petaling pada 28 Februari lalu.

“Kita mendapat maklumat pusat tahfiz berkenaan turut melibatkan pelarian pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNCHR) dan warga Rohingya,” kata Annuar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberi jaminan kepada warga asing di negara ini bahawa tiada bayaran dikenakan terhadap mereka untuk melakukan ujian saringan COVID-19.

“Untuk penyakit berkaitan COVID-19, sebagaimana seperti surat Pekeliling pada 29 Jan lalu, fi (bayaran) tidak akan dikenakan sama ada warga asing itu miskin atau kaya, sama sahaja,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 pada 23 Mac.

Bot membawa seramai 200 lebih pelarian Rohingya dikesan mendarat di Langkawi pada awal April lalu. Foto: Imigresen Malaysia

Selain kebanjiran warga asing, Malaysia turut menghadapi ancaman kemasukan PATI oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan situasi semasa tanah air.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada Ahad lalu mengesahkan terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk membawa masuk PATI ke negara ini semasa PKP dilaksanakan.

“Memang ada (cubaan bawa masuk pendatang tanpa izin) di sebelah Pantai Timur Sabah dan Pantai Barat (Semenanjung) dan perkara ini dipantau,” jelas Hamid yang dipetik oleh media tempatan.

Pada awal April lalu, negara telah dikejutkan dengan kehadiran 250 pelarian Rohingya di pantai berhampiran sebuah pusat penginapan di Langkawi. Kumpulan pelarian tersebut kemudiannya dikuarantin bagi membendung penularan wabak COVID-19.

 

Related Articles

Leave a Reply