Home Pertahanan dan Keselamatan Maritim Malaysia pantau ketat kemasukan kapal layar asing sepanjang PKP

Maritim Malaysia pantau ketat kemasukan kapal layar asing sepanjang PKP

by Nurulhuda

LANGKAWI, 4 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Negeri Kedah dan Perlis terus memantau kapal layar asing yang masuk dan berada di perairan negara ketika ini bagi menguatkuasakan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zulinda Ramly, berkata kapal layar asing tidak dibenarkan memasuki perairan Malaysia dalam tempoh PKP.

“Operasi bersepadu ini disertai oleh Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Laut Malaysia(JLM) dan Pejabat Kesihatan Langkawi bagi memantau keberadaan kapal layar asing di perairan Langkawi sepanjang tempoh perintah ini dilaksanakan,

“Hari ini (3 April) kita telah memeriksa lebih kurang 10 buah Kapal Layar asing yang mana kesemua kapal layar tersebut telah berada di perairan Langkawi sebelum arahan PKP dikeluarkan,

“Sebagai langkah pencegahan kru kapal layar tidak dibenarkan mendarat dan perlu berada di kawasan kuarantin yang telah ditetapkan oleh pihak JLM,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, Zulinda juga menggesa setiap Marina Kapal Layar agar tidak menerima kehadiran kapal layar asing dan menyalurkan maklumat berkaitan larangan kemasukan kepada mereka sehingga tamat PKP.

Dalam masa yang sama,  Zulinda Ramly berkata pemantauan udara turut dilaksanakan menggunakan aset udara sehingga ke Pulau Perak dan didapati hanya beberapa bot nelayan menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

“Ini memberi petunjuk positif bahawa komuniti maritim semakin sedar kepada arahan PKP yang telah memasuki fasa 2,” jelasnya.

Related Articles

Leave a Reply