Home Semasa Kibar Jalur Gemilang tanda solidariti perjuangan hadapi COVID-19

Kibar Jalur Gemilang tanda solidariti perjuangan hadapi COVID-19

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menganjurkan kempen ‘Kibar Jalur Gemilang’ sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia bersama memerangi penularan wabak COVID-19 mulai hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat dalam memberi kesedaran dan galakan dalam menyokong usaha kerajaan.

“Kami berharap kempen itu mampu meningkatkan semangat patriotisme dan moral rakyat khususnya kepada para adiwira barisan hadapan yang sedang terus berjuang mengekang penularan wabak itu,” katanya.

Kamarulzaman menambah, kempen itu akan diperluaskan ke semua stesen rangkaian KTMB di seluruh Semenanjung Malaysia.

Jalur Gemilang telah mula dikibarkan di ibu pejabat KTMB di Jalan Sultan Hishammuddin, hari ini.

“Inilah masanya kita menzahirkan semangat juang rakyat Malaysia melangkau zaman dan cabaran, apatah lagi dalam waktu getir sebegini,” tambah Kamarulzaman.

Related Articles

Leave a Reply