Home Pertahanan dan Keselamatan Gandingan tentera dan polis didik masyarakat supaya patuh arahan

Gandingan tentera dan polis didik masyarakat supaya patuh arahan

by Nurulhuda

Butterworth, 23 Mac – Seramai 10 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memulakan penglibatan mereka bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperketatkan lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Seberang Perai Tengah, Superintenden Mohd Mustafa Bidin berkata seramai 10 orang anggota dari Pangkalan Udara Butterworth telah sama-sama menyertai 50 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang ditugaskan untuk membantu pihak polis dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang penularan wabak COVID-19 ini.

Beliau berkata, tugasan ini turut melibatkan pemantauan di pasar-pasar awam selain sekatan jalan raya di sekitar Bukit Mertajam.

“Sejak semalam, kami telah terima 50 anggota dari tentera (TDM) dalam operasi ini dan hari ini TUDM turut memberi bantuan seramai 10 anggotanya,

“Tugasan utama mereka hari ini bermula dengan pemantauan di Pasar Besar Awam Bukit Mertajam untuk menghadkan kehadiran orang ramai terutama ketika berada di tempat terbuka seperti pasar awam dan pasar raya bagi mengekang wabak ini,

“Mereka bermula pada jam 8 pagi sehingga 10 pagi tadi dan kemudian mereka (anggota TUDM, TDM dan Polis) meneruskan pemantauan di lokasi-lokasi sekatan jalan raya (SJR),” jelasnya kepada pemberita ketika dihubungi.

Muhd Mustafa menjelaskan terdapat perubahan dari segi kehadiran orang awam di kawasan tumpuan tersebut berikutan penglibatan anggota tentera yang membantu polis dalam menguatkuasakan PKP ini.

“Bila masyarakat sudah tidak bebas membuat pembelian di kedai-kedai makan biasa, mereka tertumpu kepada pasar-pasar awam yang menjual keperluan harian mereka,

“Mereka berpusu-pusu di pasar dan kehadiran mereka agak ramai. Mereka ini tidak mematuhi arahan supaya menjarakan diri di antara satu sama lain,

“Apabila kehadiran anggota tentera bersama polis dan penguatkuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai di pasar tersebut, secara tidak langsung dapat memberi teguran serta kesedaran kepada mereka untuk mematuhi peratuan yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” tambahnya lagi.

Menurut Muhd Mustafa, pihaknya setakat ini akan memberi nasihat dan teguran kepada masyarakat tentang bahaya penyakit COVID-19 yang kini telah mencapai angka kematian melebihi 10 orang di Malaysia.

“Saya merayu agar mereka mematuhi arahan dan menjaga kesihatan diri masing-masing untuk mencegah penularan wabak ini seperti yang disarankan oleh kerajaan,

“Kurangkan pergerakan, pakai penutup mulut, sarung tangan dan yang paling penting apabila di sesuatu tempat jarak antara seseorang harus diutamakan,

“Sekiranya masyarakat masih berdegil, tindakan lebih tegas akan diambil mengikut undang-undang yang ditetapkan,” tegas Muhd Mustafa.

 

Related Articles

Leave a Reply