KALABAKAN, 5 Mac – Seramai tujuh orang lelaki pendatang haram tanpa izin (PATI) warga Indonesia berumur antara 20 hingga 47 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di dua lokasi berasingan semalam.
Komander ESSCOOM, Datuk Hazani Ghazali dalam satu kenyataan hari ini berkata, turut dirampas selaras senapang buatan sendiri (bakakuk) dalam serbuan di sebuah ladang sawit pada jam 12.20 tengah malam semalam.
“Kesemua suspek berasal dari Indonesia dan memasuki negara ini secara tidak sah melalui laluan yang tidak diwartakan,
“Hasil soal siasat lanjut juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,
Beliau berkata salah seorang daripada mereka yang dipercayai bekerja sebagai buruh ladang di kawasan itu memiliki bakakuk dan enam butir peluru hidup jenis 12 bore.
“Suspek mengaku memiliki senapang itu yang disembunyikan dalam semak dan ditutupi zink serta kayu, 300 meter daripada lokasi dia ditahan,” katanya.
Menurut Hazani kesemua suspek serta rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat dibawah seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Hazani berkata ESSCOM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan sentiasa melakukan operasi-operasi cegah jenayah rentas sempadan termasuk mengesan dan kemasukan PATI yang masuk ke negara ini melalui jalan tikus.