Home Semasa Kes terbaru wabak koronavirus libatkan rakyat Malaysia berkerja di Macau

Kes terbaru wabak koronavirus libatkan rakyat Malaysia berkerja di Macau

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun yang bekerja di Macau, China, dan mempunyai sejarah perjalanan melawat tanah besar negara itu, disahkan positif coronavirus (2019-nCoV).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, bahawa lelaki berkenaan sudah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh.

“Lelaki itu mula tidak sihat dan batuk semenjak 3 Februari lalu. Pada 4 serta 6 Februari, dia ke klinik dan telah diberikan ubat,

“Pada 7 Februari beliau masih tidak sihat dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan di mana selanjutnya pada hari yang sama beliau telah dirujuk ke Hospital Banting, Selangor untuk pemeriksaan dan rawatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata selepas disaring dan disiasat, beliau dikesan mengalami radang paru-paru (pneumonia) dan dimasukkan ke hospital berkenaan. Lelaki tersebut didapati menghidap Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan memerlukan pemantauan rapi.

“Beliau seterusnya telah dirujuk dengan segera ke Hospital Sungai Buloh. Pihak hospital sudah pun memulakan rawatan dan menjalankan siasatan lanjut,

“Sampel klinikal pesakit telah diambil dan pada 9 Februari 2020 telah disahkan positif 2019-nCoV,” tambah kenyataan itu.

Dr Noor Hisham menasihati penduduk di daerah Banting agar bertenang, manakala Jabatan Kesihatan Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat sudah dimaklumkan untuk mengambil tindakan siasatan, termasuk pengesanan kontak rapat, langkah pencegahan serta kawalan.

“Kementerian Kesihatan sudah mengambil tindakan sewajarnya dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

“Kami juga ingin menyeru orang ramai agar sekiranya memerlukan penerangan mengenai penyakit ini atau ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung sesuatu kejadian penyakit, hubungilah hotline di CPRC Kebangsaan melalui talian 03-88810200, 03-88810600 atau 03-88810700,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply