KUALA LUMPUR, 24 Jan – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menggesa Kementerian Pertahanan terutama Mohamad Sabu agar menghubungi kerajaan Indonesia untuk menjernihkan keadaan selepas pasukan keselamatan dikritik ekoran insiden penculikan 5 nelayan warganegara Indonesia di perairan Lahad Datu pada Khamis lepas.
Hishammuddin berkata sehingga hari ini Kementerian Pertahanan masih tidak memaklumkan bahawa Mohammad sudah menghubungi atau berjumpa rakan sejawatnya, selepas Timbalan Menteri Luar Indonesia, Mahendra Siregar mendakwa koordinasi atau penglibatan pihak berkuasa di Malaysia tidak efektif berikutan kes penculikan berkenaan.
“Sudah dekat dua tahun Mat Sabu (Mohammad) terajui Kementerian Pertahanan. Kenapa masih tiada perkembangan baru dan usaha pemantapan inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) ini?
“Kalau ya pun tak suka inisiatif yang dimulakan BN, beritahulah apa perancangan (Pakatan Harapan) PH untuk perkukuh keselamatan khususnya di kawasan perairan Sabah?
“Dah berkali-kali saya tanya di Parlimen dan media sosial. Tak pernah dijawab! Sekarang Kerajaan Indonesia tanpa berselindung mengecam pasukan keselamatan,” kata Hishamuddin di akaun media sosial rasminya.
Ahli Parlimen Sembrong itu juga berkata, beliau sentiasa yakin dengan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutamanya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Markas Angkatan Bersama (MAB).
“Namun, Menteri mesti bertanggungjawab dan memainkan peranan. Pergi ke berpuluh negara termasuk Iran sejak jadi Menteri Pertahanan boleh?,
“Ini sudah dua hari sejak Kerajaan Indonesia kritik pasukan keselamatan kita, masih tidak dimaklumkan bahawa Menteri kita telah berjumpa atau menghubungi rakan sejawat di Indonesia untuk menjernihkan keadaan,
“Nama Malaysia tercalar di mata dunia!, “ tegas Hishamuddin lagi.
Pada 16 Januari lalu, seramai 5 orang nelayan warga Indonesia dilaporkan telah diculik oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf ketika keluar menangkap ikan di perairan berkenaan.
Artikel berkaitan: Kes culik Tambisan: Tentera Malaysia gagal penuhi pakatan rondaan bersama Laut Sulu
Artikel berkaitan: ATM sentiasa penuhi perlaksanaan rondaan secara bersama Malaysia, Indonesia dan Filipina