Home Pertahanan dan Keselamatan Jadikan Angkatan Tentera Malaysia sebagai angkatan yang kredibel dan realistik

Jadikan Angkatan Tentera Malaysia sebagai angkatan yang kredibel dan realistik

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu menjadi satu angkatan kredibel dalam menjaga kedaulatan negara.

“Usaha pemeliharaan keamanan dan menentukan kedaulatan negara tidak tercabar memerlukan pengukuhan sempadan, keupayaan cegah rintan serta tindak balas yang bersesuaian,

“Ini adalah fokus yang perlu diberikan oleh segenap lapisan warga ATM iaitu membina angkatan yang kredibel melalui pengutamaan keupayaan serta pembentukan ketumbukan yang bersesuaian dengan trend semasa peruntukan kewangan,” kata Affendi semasa menyampaikan perintah ulung beliau di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini.

Beliau menambah, kesiagaan ATM memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi namun terpaksa akur dengan peruntukan kewangan semasa.

“Perkara ini memerlukan ATM untuk menyusun sewajarnya keupayaan teras yang diperlukan bagi mendapatkan tahap kesiagaan yang realistik berdasarkan peruntukan sedia ada melalui pengutamaan keupayaan teras dan penyesuaian saiz ketumbukan sewajarnya,” jelasnya.

Dalam perintah ulung beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-21 sejak 2 Januari lalu, Affendi telah menggariskan empat teras yang menjadi keutamaan ATM. Antara teras yang digariskan ialah “Memperkasakan kesiagaan aset ATM”, “Memperkasa warga ATM yang cemerlang”, Mengukuh keupayaan ATM dalam domain siber” dan “Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan (KPP)”.

Keempat-empat teras tersebut digariskan bagi menyokong visi KPP iaitu menjadikan “Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur”.

Bagi menjayakan teras yang digariskan, Affendi menekankan agar segala doktrin dan dokumen berkaitan dalam ATM perlu diselaraskan dengan KPP terutamanya Pelan Pembangunan Strategik ATM, 4th Dimension Malaysian Armed Forces (4D MAF).

“Tahun 2020 merupakan tahun yang penting kita semua. Tahun ini memerlukan kita untuk melakukan segala persiapan dan menyelaraskan segala doktrin serta dokumen yang berkaitan agar ia selari dengan KPP,

“Kesempatan ini perlu diambil agar kita tidak ketinggalan dalam pembangunan pertahanan dan tingkat upaya,” kata Panglima Angkatan Tentera.

Pada masa yang sama, beliau menyeru pelan keupayaan ketiga-tiga perkhidmatan ATM iaitu Army for Next Generation (Army 4 Next G), 15-to-5 TLDM dan Capability 2055 (CAP55) diselaraskan oleh setiap perkhidmatan.

Related Articles

Leave a Reply