Home Pertahanan dan Keselamatan Pangkat kehormat Menteri Besar, Ketua Menteri bukan atas kapasiti politik

Pangkat kehormat Menteri Besar, Ketua Menteri bukan atas kapasiti politik

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Kementerian Pertahanan hari ini menegaskan pemberian pangkat kepada Menteri Besar, Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri adalah selaras dengan kapasiti jawatan yang disandang sebagai penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, pihak kementerian menegaskan pangkat kehormat turut diberikan kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri dari parti pembangkang.

“Tidak tepat dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu memungkiri janjinya dengan memberikan pangkat kehormat kepada ahli politik,

“Pangkat diberikan kepada penaung JAKPAW adalah atas kapasiti kedudukan jawatan disandang yang melayakan mereka diberi pangkat kehormat dan bukanya atas kapasiti latarbelakang parti politik,” tegas Kementerian Pertahanan.

Dalam kenyataan yang sama, pihak kementerian turut menegaskan Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) merupakan suatu jawatankuasa peringkat negeri yang ditubuhkan di setiap negeri bagi menggalakkan penyertaan rakyat dalam pasukan sukarela iaitu Angkatan Simpanan Persekutuan (ASP).

Semalam, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu telah menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat dan Tauliah Kehormat Askar Wataniah (AW) yang menyaksikan penganugerahan pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Kolonel (Kehormat) Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Dr Razali Ab Malik.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali turut dianugerahkan dengan pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat).

Pangkat diberikan kepada penaung JAKPAW adalah atas kapasiti kedudukan jawatan yang disandang – Kementerian Pertahanan Malaysia. Foto: FB Tentera Darat Malaysia

Menurut pihak kementerian, JAKPAW berperanan memberikan sokongan dan kerjasama untuk mempromosi dan menggalakan penyertaan orang awam melalui komitmen majikan serta merancang semua jenis bantuan seperti kem gunasama kepada ASP di setiap negeri. Piagam Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela Persekutuan telah ditetapkan menerusi Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) 1/96.

“Penaung JAKPAW di setiap negeri adalah Menteri Besar atau Ketua Menteri. Mereka dilantik oleh Menteri Pertahanan menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera dengan diperuntukkan pangkat Brigediar Jeneral (Kehormat),

“Selain daripada itu, penjawatan Pengerusi JAKPAW dikhususkan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dan pelantikan dilakukan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan dengan diperuntukkan pangkat Kol (Kehormat),” jelas kenyataan itu lagi.

Pada masa yang sama, pihak kementerian turut menegaskan pelantikan tauliah kehormat ini perlu mendapat kelulusan MAT dan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Seksyen 198, Akta Angkatan Tentera 1972.

 

Related Articles

Leave a Reply