Home Pertahanan dan Keselamatan Kertas Putih Pertahanan gariskan hala tuju pertahanan untuk 10 tahun

Kertas Putih Pertahanan gariskan hala tuju pertahanan untuk 10 tahun

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu telah mengusulkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) pada sesi pagi persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Mohamad, KPP menggariskan perancangan halatuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 2020-2030.

“Dalam mendokong hasrat Kerajaan untuk menyemai tadbir urus yang baik melalui prinsip keterbukaan, ketelusan, inklusif dan progresif, KPP diterbitkan sebagai wadah baharu dasar pertahanan negara bagi tempoh 2020 hingga 2030,

“KPP digubal berdasarkan proses libat urus dengan pihak berkepentingan. Dokumen utama yang menjadi rujukan KPP ialah Dasar Keselamatan Negara yang merupakan dasar payung bagi keselamatan,” kata Menteri Pertahanan ketika membentang usul di Dewan Rakyat.

Usul KPP menyentuh beberapa perkara seperti diplomasi pertahanan, ancaman keselamatan, strategi dan perancangan masa hadapan pertahanan negara.

Dari segi diplomasi dan keadaan geopolitik yang tidak menentu menjadi antara perkara utama yang dinyatakan dalam pembentangan KPP terutamanya menyentuh interaksi antara Amerika Syarikat-China yang memberikan kesan terhadap kestabilan rantau Asia-Pasifik.

Selain daripada itu, keadaan geopolitik di rantau Asia Selatan dan Asia Barat turut diambil kira terutamanya dengan melihat perkembangan ancaman pengganas serta interaksi antara Rusia dan negara-negara blok Barat.

Menurut Mohamad, rantau Asia Pasifik mempunyai beberapa titik nyala (flashpoint) untuk berlakunya konflik persenjataan.

“Semua perkembangan ini mempunyai kesan langsung dan tidak langsung kepada Asia Timur, termasuk Asia Tenggara,” jelasnya.

Menyentuh isu kejiranan Asia Tenggaa, isu tuntutan bertindih, limpahan konflik dan krisis pelarian menjadi fokus utama KPP.

Sementara itu, KPP turut menyatakan bahawa Malaysia tidak terlepas dari ancaman bukan tradisional terutamanya dari kumpulan pengganas seperti Da’esh, pelanunan dan pemerdagangan orang.

Ancaman bencana alam turut diberikan perhatian dan diklasifikan sebagai ancaman tidak tradisional.

“Negara turut terdedah kepada bahaya alam semula jadi dan alam sekitar. Bencana alam berkaitan dengan iklim dan kejadian cuaca yang melampau semakin meningkat, mengancam keselamatan, kesihatan, dan pembangunan Malaysia,” kata Mohamad.

Objektif Pertahanan Negara

Selain daripada itu, KPP turut menggariskan 5 objektif utama pertahanan negara. Antara objektif yang dinyatakan adalah pembangunan pelbagai domain bagi menghadapi ancaman, mempertingkatkan daya ketahanan dalaman negara, peningkatan kapasiti pertahanan, memajukan industri pertahanan sebagai pemangkin ekonomi dan melaksanakan tadbir urus yang baik.

Menurut Menteri Pertahanan, objektif tersebut digariskan bagi mencapai matlamat untuk mempertahankan negara.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan Cegah Rintang Berpadu, Pertahnan Komprehensif dan Perkongsian Berwibawa sebagai tonggak utama strategi pertahanan negara.

“Cegah Rintang Berpadu melibatkan peranan ATM melindungi kepentingan negara daripada ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional,

“Pertahanan Komprehensif pula menekankan kepentingan seluruh kerajaan dan masyarakat dilibatkan dalam usaha mempertahankan negara selaras dengan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH),

“Menerusi Perkongsian Berwibawa, Malaysia akan meningkatkan kerjasama pertahanan secara dua hala atau pelbagai hala dengan negara-negara lain,” jelas Mohamad.

Perbahasan KPP akan disambung di Dewan Rakyat pada petang ini.

Related Articles

Leave a Reply