KUALA LUMPUR, 2 Dis – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentangkan di Dewan Parlimen pada hari ini adalah bersifat umum dan tidak mendedahkan rahsia negara.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan KPP tidak meletakkan senarai aset secara terperinci kerana sifat dokumen tersebut secara terbuka.
“Sudah tentu kita tidak boleh dedahkan semua tetapi beberapa perkara dibincangkan secara tertutup,
“KPP yang bersifat umum adalah terbuka kepada rakyat sementara maklumat yang lebih terperinci hanya terhad kepada kerajaan dan pihak tentera,” jelas Menteri Pertahanan semasa sidang media selepas menggulung perbahasan KPP di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, KPP adalah bertujuan untuk menggalakkan rakyat dan semua lapisan masyarakat untuk turut sama memikul tanggungjawab pertahanan negara sebagai satu usaha sama nasional.
“KPP juga bertujuan untuk mengkaji semula persekitaran strategik keselamatan semasa serta meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar mampu untuk mempertahankan negara pada setiap masa,” kata Mohamad.
Terdahulu, usul KPP yang dibentangkan oleh Menteri Pertahanan telah diluluskan oleh Dewan Rakyat melalui menerusi undian suara.
Dasar dan Visi KPP
KPP menggariskan dasar-dasar dan usaha-usaha dalam mencapai visi Malaysia Sebagai Sebuah Negara Yang Selamat, Berdaulat dan Makmur. Visi ini dibentuk berdasarkan kedudukan strategik Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang terletak di tengah-tengah laluan perdagangan rantau Asia Pasifik dan Lautan Hindi.
Menerusi dasar ini, kerajaan telah menetapkan tiga kepentingan pertahanan negara yang merangkumi keselamatan, kedaulatan dan kemakmuran Malaysia. Selain daripada itu, KPP turut menggariskan lima Objektif Pertahanan Negara iaitu pembangunan pelbagai domain keupayaan ATM; peningkatan daya ketahanan dalaman Malaysia melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat; pengukuhan kerjasama pertahanan, pemajuan industri pertahanan sebagai pemangkin ekonomi; dan penginstitusian amalan tadbir urus terbaik.
“Kerajaan bertekad untuk menyemai budaya keselamatan dan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat,
“Ini kerana jatuh bangun sesebuah negara bergantung penuh pada kesatuan, ketahanan dan keampuhan rakyat dalam mendepani segala ancaman masa kini dan mendatang,” ujar Mohamad yang turut menyeru rakyat Malaysia untuk mendukung aspirasi KPP.