Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the server-ip-memory-usage domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home2/airtim2021/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pertemuan dengan ahli parlimen, Azmin perlu beri penjelasan – Anwar Ibrahim – Air Times News Network
Home Politik Pertemuan dengan ahli parlimen, Azmin perlu beri penjelasan – Anwar Ibrahim

Pertemuan dengan ahli parlimen, Azmin perlu beri penjelasan – Anwar Ibrahim

by Bernama

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan berhubung pertemuan dengan beberapa ahli parlimen di kediaman rasminya semalam.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata Mohamed Azmin perlu menjelaskan tujuan pertemuan itu sama ada ia dilakukan atas kapasiti parti atau kerajaan.

“Tentu kita akan minta penjelasan dulu, gejala ini menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan rakan-rakan, sepatutnya beliau (Azmin) beri penjelasan.

“Saya juga minta penjelasan kalau (pertemuan) itu dilakukan atas kapasiti parti atau kerajaan. Kalau atas kapasiti kerajaan, kenapa MP lain tidak diundang,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini, semalam.

Beberapa ahli parlimen kelihatan berkumpul di kediaman rasmi Mohamed Azmin Ali di Presint 10, Putrajaya malam semalam.

Bagaimanapun tidak diketahui tujuan pertemuan itu diadakan, ataupun bilangan sebenar ahli parlimen yang menghadirinya walaupun ada media melaporkan terdapat kira-kira 20 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) juga kelihatan menyertai pertemuan itu di samping wakil rakyat dari PKR.

Sementara itu, Anwar berkata Mohamed Azmin perlu menghadiri mesyuarat biro politik PKR malam esok (hari ini) bagi menjelaskan persoalan mengenai pertemuan berkenaan.

Terdahulu Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil juga berharap Azmin dapat merungkaikan teka-teki berhubung isu itu pada mesyuarat berkenaan kerana pihak parti setakat ini belum menerima sebarang maklumat mengenai isu itu.

“Saya agak terkejut mendengar dan membaca laporan (pertemuan) itu, waktu ini parti belum terima apa-apa makluman rasmi, mesyuarat esok pasti akan membincangkan perkara ini,” katanya

Beliau juga berharap semua kepimpinan tertinggi juga akan hadir pada mesyuarat berkenaan termasuk Mohamed Azmin.

Sementara itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata pertemuan antara ahli Parlimen parti itu dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi malam tadi adalah bagi membincangkan mengenai penyaluran projek kerajaan di kawasan mereka.

Bagaimanapun, katanya, pertemuan itu telah membelakangkan nasihat parti supaya setiap perjumpaan mesti dibuat secara en bloc dan tempatnya mestilah di Parlimen bagi mengenepikan sebarang persepsi kepada mana-mana individu atau pemimpin.- Bernama

Related Articles

Leave a Comment

error: Aha??? Nak buat apa tu?