Home Pertahanan dan Keselamatan Indonesia dan Malaysia adalah sahabat akrab yang istimewa – Mohamad Sabu

Indonesia dan Malaysia adalah sahabat akrab yang istimewa – Mohamad Sabu

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan hubungan antara Malaysia-Indonesia yang telah terjalin selama 62 tahun adalah berada di tahap yang tertinggi.

“Malaysia sentiasa menganggap Indonesia sebagai sahabat akrab yang penting dan kami amat gembira kerana hubungan diplomatik kedua-dua negara sejak 62 tahun lalu menjadi istimewa dan berada pada tahap tertinggi,

“Lawatan ulung Prabowo ke Malaysia sebagai negara pertama dikunjungi ini turut mencerminkan keakraban kedua-dua buah negara dan membuktikan komited yang tinggi Prabowo dalam membentuk kerjasama pertahanan yang lebih erat,” kata Mohamad pada Sidang Media sempena Lawatan Rasmi Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Prabowo Subianto ke Malaysia di Wisma Perwira ATM, hari ini.

Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Prabowo Subianto tiba di Kementerian Pertahanan Malaysia dalam rangka lawatan kerja ke negara ini selama dua hari. Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong dan Panglima-panglima Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Prabowo kemudiannya menerima tabik hormat serta memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1RAMD).

Pertemuan kedua-dua Menteri Pertahanan memberi fokus kepada kerjasama pertahanan Malaysia-Indonesia khususnya dalam menghadapi ancaman keganasan.

Selain daripada itu, Mohamad turut menyatakan pertemuan beliau dengan Prabowo akan menyentuh kerjasama industri pertahanan Malaysia dengan Indonesia serta negara ASEAN.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!