Home Semasa Tujuh ditahan disyaki promosi, sokong serta miliki bahan kumpulan pengganas LTTE

Tujuh ditahan disyaki promosi, sokong serta miliki bahan kumpulan pengganas LTTE

by Bernama

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ditahan dalam operasi polis Bukit Aman semalam kerana disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua mereka ditahan dalam operasi di sekitar Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur antara pukul 9.00 pagi dan pukul 2.00 petang semalam.

Beliau berkata dua ADUN dari Melaka dan Negeri Sembilan itu ditahan selepas disyaki menghadiri program memperingati Hari Perwira LTTE pada November tahun lepas di Melaka.

“Kedua-dua mereka dikesan menyampaikan ucapan pada program itu yang berunsur sokongan kepada LTTE, mencari dana dan mengedarkan risalah serta bahan berkaitan kumpulan itu,” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini, pada Khamis.

Ayob Khan berkata kedua-dua mereka yang ditahan disyaki terlibat secara langsung dengan LTTE selepas siasatan terperinci dijalankan sejak November lepas.

Ayob Khan berkata turut ditahan ialah seorang peniaga barang lusuh berumur 28 tahun yang disyaki penganjur program Hari Perwira LTTE yang diadakan setiap tahun pada bulan November.

“Individu yang ditahan di Rawang, Selangor itu pernah disabitkan atas kesalahan mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia Ibrahim Ansar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Sept 2016 dan dia didenda RM10,000 atas kesalahan itu,” katanya.

Beliau berkata tangkapan keempat ialah seorang ejen insurans berusia 38 tahun dan individu yang ditahan di Kuala Lumpur itu disyaki merancang serangan terhadap Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur serta didapati memiliki dan menyimpan bahan-bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Tangkapan di Sungai Siput, Perak pula membabitkan seorang pemandu teksi berusia 37 tahun yang dipercayai pernah menyertai perarakan dan perjumpaan sulit LTTE di negeri berkenaan, katanya.

“Suspek dipercayai terlibat dalam merekrut dan menyebarkan propoganda kumpulan pengganas itu di Malaysia. Suspek juga turut menyimpan serta memiliki bahan berkaitan kumpulan itu selain terlibat dalam insiden sama mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka tiga tahun lepas,” katanya.

Ayob Khan berkata dua lagi yang ditahan ialah seorang juruteknik berusia 27 tahun di Kulim, Kedah serta seorang peniaga kedai makan di Sungai Buloh, Selangor.

“Kedua-dua individu itu ditangkap kerana dipercayai menyokong, memiliki bahan berkaitan LTTE serta mempromosikan kumpulan pengganas itu menerusi media sosial,” katanya

Menurutnya, kesemua mereka ditahan selama 28 hari untuk siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bermula hari ini.

Beliau berkata sejak 2009, seramai 25 individu ditahan kerana terlibat dengan LTTE dan polis percaya kumpulan itu mempunyai rangkaian di luar negara.

Dalam pada itu, Ayob Khan menasihatkan orang ramai agar tidak menjadikan penahanan individu disyaki terlibat LTTE sebagai isu perkauman serta mengeksploitasi perkara itu.

“Kami tidak kira siapa sama ada daripada parti, agama dan bangsa mana-mana, jika terbabit dengan aktiviti keganasan, kami akan tangkap,” katanya sambil menegaskan bahawa sebelum ini beberapa siri tangkapan juga dibuat terhadap anggota militan Daesh, Jemaah Islamiah dan Sikhs for Justice.

Kumpulan LTTE disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.

LTTE terlibat dalam insiden pertumpahan darah selama lebih tiga dekad di Sri Lanka. LTTE yang diketuai V. Prabhakaran mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara negara pulau itu apabila golongan majoriti Sinhala dikatakan menindas masyarakat Tamil, iaitu kumpulan minoriti. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply