Home Semasa Perbezaan jurang pendapatan ekonomi cetus keadaan tidak harmoni – Perdana Menteri

Perbezaan jurang pendapatan ekonomi cetus keadaan tidak harmoni – Perdana Menteri

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan jurang pendapatan ekonomi mampu untuk cetus keadaan tidak harmoni terutamanya melibatkan jurang antara kaum yang berlainan.

Menurut beliau, masalah sebegini telah membelenggu negara semenjak merdeka lagi.

Ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Marang di Dewan Rakyat, Mahathir menegaskan kerajaan telah menyedari isu jurang pendapatan dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah tersebut.

“Kerajaan telah melancarkan program pembangunan 20 tahun yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB),

“Dasar ini bertujuan untuk mewujudkan perpaduan nasional melalui penyusunan semula masyarakat dan pembasmian kemiskinan,” jelas Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi.

Beliau menambah, DEB dan Wawasan 2020 gagal dicapai berikutan kegagalan kerajaan terdahulu dalam melaksanakan dasar yang bersesuaian.

“Walaupun ekonomi negara berkembang dalam tempoh berkenaan, pengagihannya tidak seimbang di setiap peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan,

“Ini diburukkan lagi dengan pentadbiran Kerajaan terdahulu yang dicengkam oleh masalah ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah,

“Setelah hampir 50 tahun pelaksanaan DEB dan Wawasan 2020, masalah ketidakseimbangan pendapatan dan kekayaan antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera masih wujud,

“Ini boleh menyebabkan kegelisahan dan ketegangan kaum, sekaligus, merencatkan pertumbuhan ekonomi negara dan aspirasi perpaduan nasional,” jelas Perdana Menteri.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah dilancarkan pada 5 Oktober lalu.

Tun Mahathir turut menyatakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 diperkenalkan bagi mengatasi masalah yang timbul. Melalui visi ini, kerajaan akan melihat pembangunan dari aspek peningkatan kuasa beli rakyat dan pembangunan perlu dinikmati oleh semua rakyat.

“Kerajaan kini tidak lagi melihat pembangunan mengikut ukuran pertumbuhan ekonomi atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata,

“Ini bermakna tidak wujud jurang pendapatan yang terlalu lebar antara miskin dengan kaya, antara kaum dengan suku kaum dan antara wilayah luar bandar,” kata Mahathir.

Selain daripada itu, kerajaan akan memberi fokus kepada aspek keberhasilan pencapaian berdasarkan prinsip Kesaksamaan Keberhasilan kepada Bumiputera.

“Peluang akan diberikan kepada Bumiputera yang membukti kelayakan dan kemampuan mereka. Bagi yang masih belum layak dan mampu pula, bantuan, latihan serta sokongan sewajarnya akan diberikan bagi meningkatkan peluang kejayaan mereka,

“Melalui pendekatan ini, Kerajaan berhasrat melahirkan generasi Bumiputera baharu yang berpegang teguh kepada nilai moral integriti, bersikap rajin berusaha dan bermaruah,” ujar Perdana Menteri.

Related Articles

Leave a Reply