Home Semasa PRK Tanjung Piai: SPR mesyuarat 1 Okt depan

PRK Tanjung Piai: SPR mesyuarat 1 Okt depan

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 23 Sept – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Selasa depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting bagi pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid MD Rafik pada Sabtu lalu.

Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar dalam kenyataan berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof hari ini.

“Mesyuarat Khas yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya.

Mohamed Elias berkata mengikut peruntukan undang-undang, SPR perlu mengadakan PRK bagi kerusi Parlimen tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung. Allahyarham yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti 524 undi.

Related Articles

Leave a Reply