Home Pertahanan dan Keselamatan TUDM sedia tambah pesawat untuk operasi pembenihan awan – Panglima

TUDM sedia tambah pesawat untuk operasi pembenihan awan – Panglima

by M.Daim

SUBANG, 16 Sept – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang hari ini menyatakan pihaknya bersedia untuk menambah pesawat bagi tujuan Operasi Pembenihan Awan (OPA) sekiranya diperlukan.

“Kita akan menambah bilangan pesawat sekiranya diperlukan,” jelas Panglima Tentera Udara ketika ditemui di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Pada ketika ini, TUDM menyediakan dua buah pesawat C-130H Hercules bagi melaksanakan operasi sedemikian di seluruh negara dengan sebuah pesawat di kawasan operasi Sabah dan Sarawak manakala sebuah lagi di Semenanjung Malaysia.

Beliau menambah, TUDM sentiasa berhubung dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dan Jabatan Meteorologi Malaysia (Meteorologi) bagi melaksanakan OPA.

Pada ketika ini TUDM telah menyediakan dua buah pesawat C-130H bagi melaksanakan operasi pembenihan awan di seluruh negara. Foto: Air Times/Lydia Carlisa

“TUDM secara khususnya pada ketika ini akan memberi keutamaan tertinggi untuk melaksanakan tugas-tugas pembenihan awan,

“Adalah menjadi salah satu tanggungjawab  kepada TUDM untuk memberikan khidmat kepada umum bagi menangani masalah jerebu di ruang udara negara,” tambah Affendi.

Hari ini, TUDM melaksanakan OPA dengan melibatkan sebuah pesawat pengangkut C-130H Hercules. Pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Subang kira-kira 12.30 tengah hari tadi dan menuju ke kawasan liputan di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Operasi pembenihan awan (OPA) melibatkan kerjasama antara TUDM, NADMA dan Meteorologi. Foto: Air Times/M Daim

Perlaksanaan OPA pada hari ini adalah dengan menggunakan teknik pembenihan basah. Teknik ini menggunakan semburan larutan air garam keluar dari pesawat di kawasan tertentu melalui awan kumulus bagi menggalakkan pembentukan titisan awan.

Hujan akan berlaku dalam tempoh antara 30 minit hingga ke 1 jam selepas operasi pembenihan awan dilaksanakan.

TUDM dengan kerjasama NADMA dan Meteorologi sebelum ini telah melaksanakan operasi pembenihan awan di Sarawak pada 12 September lalu.

Related Articles

Leave a Reply