KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah melaksanakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha dan Korban/ Aqiqah Peringkat Tentera Darat di Kem Batu Kentonmen, hari ini.
Acara dimulakan dengan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha dan Khutbah yang diimamkan oleh Leftenan Kolonel Ahmad Sukri Ibrahim, Pegawai Staf 2 Agama, Markas Pemerintahan Logistik Tentera Darat.
Khutbah Aidiladha pula disampaikan oleh Kolonel Muhammad Azmi bin Wahab, Pengarah Agama Markas Tentera Darat.
Ibadah korban dilaksanakan sejurus selesai acara solat sunat dan khutbah Aidiladha dengan simbolik penyerahan pisau sembelihan korban oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi kepada Timbalan Panglima Logistik TDM, Brigadier Jeneral Abdul Aziz Mohd Sharif.
Sebanyak 24 ekor lembu dan 2 ekor kambing telah dikorban melalui penyertaan anggota TDM yang bertugas di kawasan Lembah Klang.
“Suasana kemeriahan ibadah korban dapat dirasai apabila dilakukan secara bergotong-royong dan secara tidak langsung ianya dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama anggota tentera darat,” jelas pihak TDM dalam siaran akhbar yang dikeluarkan pada hari ini.
Turut hadir ke majlis ini ialah Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami; Panglima Logistik TD, Mejar Jeneral Datuk Hanafiah Jaafar, Pegawai-pegawai Kanan serta lebih 3000 warga TDM di sekitar Lembah Klang.