Home Pertahanan dan Keselamatan Tiada kesan negatif bina kapal LMS di China

Tiada kesan negatif bina kapal LMS di China

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Keputusan kerajaan membina empat buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) di China tidak membawa kesan negatif kepada rundingan berkaitan pemindahan teknologi dan pengetahuan serta tidak memberi impak antara China dan Malaysia.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, kerajaan China telah bersetuju untuk melaksanakan program-program pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada Malaysia menerusi Boustead Naval Shipyard Sdn.Bhd. (BNS) dan syarikat-syarikat vendor yang dikenalpasti.

“Pemindahan teknologi dan pengetahuan berkenaan meliputi bidang Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) serta sokongan logistik, walaupun binaan keempat-empat LMS dilaksanakan di China,

“Perkara ini dapat mendokong keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menyelenggara dan membaik pulih aset strategik negara dan pada masa yang sama mengurangkan kebergantungan kita terhadap negara luar.

“Perlu ditekankan, kontrak perolehan yang ditandatangani ini adalah antara kerajaan Malaysia dan BNS,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, walaupun LMS dibuat di China, Malaysia tidak akan kehilangan pekerja berkemahiran tinggi kerana pihak BNS akan memastikan bahawa kemahiran tersebut kekal di situ.

“Sekiranya terdapat keperluan, pekerja berkemahiran tinggi ini boleh mendalami ilmu masing-masing menerusi pemindahan teknologi dan penempatan kerja,

“Kaedah ini boleh memastikan negara mendapat kelebihan kepada peningkatan kerjaya dalam bidang-bidang kemahiran tinggi,” tambahnya lagi.

Kontrak Perolehan empat buah kapal LMS antara kerajaan Malaysia dan syarikat BNS telah ditandatangani pada 23 Mac 2017.

Kontrak bernilai RM1.048 bilion itu akan dilaksanakan dalam tempoh empat tahun bermula pada 2017 sehingga 2021.

Perancangan asal ialah pembinaan dua unit LMS dilakukan di negara China manakala dua buah lagi dibina di Malaysia oleh BNS.

Namun, mengambil kira situasi kewangan semasa negara dan bagi melaksanakan langkah penjimatan, kerajaan pada Oktober 2018 telah bersetuju untuk keempat-empat unit LMS ini dibina di negara China.

Di samping itu, pihak BNS juga masih mendapat peluang dan manfaat melalui projek pembinaan LCS yang sedang dibina di Lumut.

Related Articles

Leave a Reply