BANDING, 6 Jun – Peranan sebenar Tentera Darat Malaysia (TDM) akan disusun semula bagi mengelakkan tentera terlibat dalam perkara-perkara yang dilatih seperti aktiviti pembanterasan jenayah.
Perkara tersebut disampaikan oleh Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dalam satu sidang media di Markas Taktikal Kem Sri Banding, semalam.
Beliau menambah, TDM tidak mempunyai kuasa dan tidak dilatih dalam pembanterasan jenayah kerana ia di bawah kuasa dan tanggungjawab Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
“Tugas TDM adalah untuk menjaga kedaulatan negara daripada sebarang ancaman luar dan kami sentiasa bersiap-siaga,
“Selain itu, pucuk kepimpinan TDM juga sedang mengkaji semula strategi dari segi pengawalan pos di kawasan operasi di sempadan negara,” kata Hasbullah.
Terdahulu Ahmad Hasbullah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama warga TDM di Kem Sri Banding dekat sini. Beliau berada di Banding selama 2 hari bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama anggota tentera yang bertugas di pos kawalan sempadan serta di kem-kem berdekatan.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk menyumbang pandangan secara aktif dalam Kertas Putih Pertahanan.
“Saya ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama memberi pandangan dalam Kertas Putih Pertahanan,” kata Panglima Tentera Darat dalam satu sidang media di Kem Sri Banding, semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa Kertas Putih Pertahanan ini akan melibatkan semua rakyat Malaysia.
“Kertas Putih Pertahanan ini akan mencorakkan bagaimana kita melihat keselamatan semasa,” ujarnya.