Home Pertahanan dan Keselamatan Maritim Malaysia tahan bot pukat tunda ceroboh zon perikanan

Maritim Malaysia tahan bot pukat tunda ceroboh zon perikanan

by M.Daim

LAHAD DATU, 12 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menahan 2 buah bot nelayan tempatan jenis bot pukat tunda di perairan Lahad Datu.

Maritim Malaysia menjelaskan bahawa kedua-dua bot tersebut ditahan kerana melanggar syarat sah lesen perikanan.

“Bot-bot berkenaan ditahan pada jarak lebih kurang 1.8 batu nautika dari selatan Tanjung Tungku dan selatan Bagahak pada jam lebih kurang 10.00 pagi tadi,” kata Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Salah sebuah bot nelayan tempatan yang ditahan oleh Maritim Malaysia kerana melanggar peraturan sah perikanan. Tindakan sedemikian boleh mengancam ekosistem perikanan. Foto: Maritim Malaysia

Hasil pemeriksaan oleh Maritim Malaysia mendapati kesemua anak kapal yang berada di atas bot termasuk tekong dan awak-awak adalah warganegara Indonesia dan Bajau Palauh.

“Kesemua awak-awak berusia dalam lingkungan 44 hingga 51 tahun dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 3 batu nautika dari pantai terdekat,” jelas Muhaimin.

Turut dirampas dua pukat tunda gulung, ikan campur anggaran 200 kilogram (kg). Kedua-dua bot telah ditahan dan dibawa ke Pos Maritim FELDA Sahabat, Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia memandang serius pencerobohan perairan bagi aktiviti menangkap ikan kerana ia mampu menjejaskan ekosistem sedia ada,

“Komuniti maritim tempatan hendaklah bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat lengkap berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang terutama pencerobohan kawasan zon penangkapan ikan oleh bot pukat tunda yang selalu menjadi rintihan nelayan pantai,” kata Pengarah Zon Maritim Lahad Datu.

Maritim Ma;aysia menyeru komuniti maritim tempatan untuk menyalurkan maklumat bagi membendung aktiviti pencerobohan zon perikanan. Foto: Maritim Malaysia

Related Articles

Leave a Reply