Home Pertahanan dan Keselamatan Isu Land Swap: Tidak perlu lapor polis, biar SPRM siasat

Isu Land Swap: Tidak perlu lapor polis, biar SPRM siasat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, hari ini menyatakan belum ada keperluan untuk membuat laporan polis berhubung isu ‘land swap’ (penswastaan untuk memajukan tanah) membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

“Setakat ini, kita mendapati kes ini tiada kaitan dengan polis, sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes ini.

“Oleh yang demikian, kes berkenaan tidak ada kaitan dengan polis setakat ini dan biar SPRM siasat terlebih dahulu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang (PPT) 2019 Kementerian Pertahanan, di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jalan Padang Tembak, hari ini.

Seramai 849 warga awam, 9,585 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada tiga cabang perkhidmatan dan 280 pesara kementerian seluruh negara menerima anugerah tersebut.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd. Manaf dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Pada 21 Februari lalu, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung urus niaga dua daripada 16 projek ‘land swap’.

Laporan itu dibuat oleh Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie Ismail di ibu pejabat SPRM Putrajaya, susulan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Kewangan dan Perolehan, yang diketuai Tan Sri Ambrin Buang.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply