Home Semasa Pemimpin, parti politik jangan campuri urusan undang-undang negara – NGO

Pemimpin, parti politik jangan campuri urusan undang-undang negara – NGO

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Seorang aktivis menegaskan isu surat pekeliling Jabatan Peguam Negara (AGC) yang tular pada 9 Februari lalu merupakan isu kedaulatan undang-undang negara dan bukannya isu politik.

Shafik Abdullah, seorang aktivis dan jururunding menyatakan perkara tersebut dalam satu sidang media khas di pejabat Sekretariat Gerakan NGO-NGO Bergabung Malaysia (GERAM), semalam.

Menurut beliau, kewujudan surat pekeliling sebegini wajar diambil serius kerana kandungan surat tersebut adalah petanda jelas berlakunya campur tangan ahli politik dalam institusi kehakiman negara.

“Isu ini bukan isu politik. Isu ini adalah isu kedaulatan undang-undang di negara kita ini,” tegas Shafik.

Beliau menyatakan satu laporan polis telah dibuat pada 11 Februari lalu berikutan pendedahan surat pekeliling AGC oleh Anggota Jawatakuasa Pusat MCA.

Dalam laporan polis yang dibuat, beliau menyatakan surat sebegini menunjukkan berlakunya campur tangan politik, salah guna kuasa serta tindakan yang mempunyai motif untuk mempengaruhi Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Hakim Negara.

Beliau menambah, Peguam Negara telah membuat persepsi dan keputusan bahawa kerjaan Barisan Nasional adalah kerajaan kleptokrasi sebelum mahkamah membuat keputusan perbicaraan kes.

“Adakah kita akan terus membiarkan tokoh dan parti politik untuk mencampuri urusan perundangan negara sementara rakyat terus ditindas?” soal Shafik.

Pada masa yang sama, Presiden GERAM, Baharin Mohd Tahir menyifatkan isu ini menunjukkan kecelaruan dalam pengasingan kuasa (segregation of power) dalam pemerintahan negara.

“Sekretariat GERAM mengambil berat akan isu ini. Campur tangan pihak politik telah menyebabkan berlakunya konflik kepentingan (Conflict of Interest) dalam Badan Kehakiman dan juga pengasingan kuasa,” jelas Baha.

Dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Malaysia membahagikan kuasa pemerintahan kepada tiga badan atau institusi iaitu Badan Eksekutif, Badan Perundangan Persekutuan, dan Badan Kehakiman.

Pada 9 Februari lalu, Chan Quin Er, Anggota Jawatakuasa Pusat MCA telah memuatnaik tangkap layar e-mel daripada Peguam Cara (III) di Jabatan Peguam Negara, Mohamad Hanafiah Zakaria, mengenai pengurusan kes-kes berprofil tinggi termasuk melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Lantaran dengan pendedahan tersebut, Chan telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis pada 15 Februari lalu.

Sementara itu, MalaysiaKini memetik kenyataan Hanafiah yang mempertahankan e-mel berkenaan dan menegaskan mereka menerima arahan daripada kerajaan dan mematuhinya selagi ia tidak bercanggah dengan perlembagaan atau sebarang undang-undang bertulis.

Hanafiah terkejut dengan penyebaran kandungan e-mel tersebut sedangkan ia dihantar kepada semua timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes melibatkan kerajaan sebelum ini.

 

 

Related Articles

Leave a Reply