Home Pertahanan dan Keselamatan 31 negara sahkan penyertaan, Turki miliki pavilion terbesar di LIMA ’19 – Mohamad Sabu

31 negara sahkan penyertaan, Turki miliki pavilion terbesar di LIMA ’19 – Mohamad Sabu

by Air Times News Network

LANGKAWI, 12 Feb – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata sebanyak 31 buah negara telah mengesahkan penyertaan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19) yang dijadualkan 26 hingga 30 Mac ini.

12 negara telah mengesahkan penyertaan secara berkumpulan atau pavilion negara iaitu Australia, Belarus, China, Perancis, Jerman, Jepun, Rusia, Slovakia, Turki, Ukraine, United Kingdom dan Amerika Syarikat, kata Mohamad seperti dilaporkan Bernama.

“Turki, negara yang terkenal mempunyai industri pertahanan yang baik memiliki pavilion terbesar pada LIMA ’19 dengan keluasan 730 meter persegi diikuti Rusia 697 meter persegi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap ada Majlis Pengiktirafan Rakan Penaja LIMA ‘19 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata LIMA ’19 disasarkan merangkumi 60 peratus pengisian pertahanan dan 40 peratus komersil.

Setakat hari ini peratusan tempahan ruang pameran telah menjangkau 109 peratus dengan jumlah keseluruhan tempahan ruang pameran seluas 11,037 meter persegi, ujar beliau.

“Sebanyak 354 syarikat pertahanan dan komersil tempatan serta antarabangsa telah mengesahkan penyertaan pada LIMA ’19.

“Penyertaan ini melibatkan 51 peratus atau 181 syarikat tempatan manakala baki 49 peratus atau 173 syarikat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Mohamad mengesahkan kapal mewah Equanimity tidak akan dipamerkan pada LIMA ’19 nanti.

 

Related Articles

Leave a Reply