Home Semasa Khalid berbohong tentang AES – Najib

Khalid berbohong tentang AES – Najib

by Noor Sheila Amin

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Bekas Perdana Menteri Najib Razak membidas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad kerana tidak membuat penjelasan menyeluruh dalam isu saman Sistem Penguatkuasa Automatik (AES).

Menurut Najib di akaun media sosial kendalian beliau, Khalid Samad hanya menyatakan  kerajaan PH telah menyelesaikan situasi syarikat swasta mengutip denda AES dan sekarang kutipan saman pergi kepada JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan kerajaan.

Namun beliau tidak memaklumkan syarikat swasta yang dimaksudkannya ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang pencarum-pencarum LTAT adalah daripada kalangan anggota tentera Malaysia, bukan mana-mana syarikat swasta ataupun kroni,” kata Najib.

Khalid yang juga pengarah Komunikasi Amanah semalam dilaporkan membuat “pusingan U” berhubung pelaksanaan AES kerana mendakwa hasil kutipan saman AES itu semasa pentadbiran BN diberikan kepada syarikat swasta, bukan kerajaan, polis atau JPJ.

Najib berkata semasa pentadbirannya semua kutipan saman tidak dibayar kepada syarikat swasta tetapi hanya caj perkhidmatan RM16 sahaja dikenakan bagi setiap keping saman yang dibayar menerusi syarikat itu, dalam satu kenyataan rasmi di akaun media sosial miliknya, hari ini.

Sementara baki lain, kata Najib, diserahkan kepada kerajaan.

“Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, projek AES sebenarnya dimulakan dan dipilih sebelum saya menjadi PM iaitu pada tahun 2005.

“Jika Khalid berani, kalau dia beranilah, mungkin dia boleh tanya PM ke -4 tentang peranan beliau dalam projek ini,” katanya.

Kata Najib, beliau mengarahkan LTAT mengambil alih projek tersebut bagi membolehkan badan itu menjana pendapatan untuk veteran-veteran tentera yang berkorban menjaga keselamatan negara.

Menurutnya, harga yang dibayar LTAT untuk mengambil alih juga dipersetujui mengikut jumlah aset termasuk kutipan saman belum dijelaskan dan tempoh konsesi mengikut perjanjian.

“Saya pelik mengapa menteri-menteri PH ini tidak ada sebarang rasa malu semasa membohong walaupun telah jelas-jelas terkantoi dengan fakta kukuh.

‪”Pembohongan ini bukan biasa-biasa tetapi menidakkan veteran veteran tentera,” tambah Najib.

Selepas mengambil alih kerajaan, PH tidak menyambung kontrak dua konsesi pengendali AES berkenaan yang tamat pada 31 Ogos tahun lalu.

Sistem berkenaan diambil alih oleh JPJ yang berkuatkuasa 1 September tahun lalu.

 

Related Articles

Leave a Reply