Home Semasa Pakaian menyerupai seragam tentera salah mengikut undang-undang – Panglima Tentera Darat

Pakaian menyerupai seragam tentera salah mengikut undang-undang – Panglima Tentera Darat

by Air Times News Network

KENINGAU, 27 Jan – Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata tindakan orang awam memakai pakaian menyerupai seragam tentera adalah salah mengikut undang-undang serta boleh didakwa.

Sebarang bentuk kelengkapan atau peralatan digunakan badan beruniform adalah diwartakan dan orang awam yang tidak berkaitan adalah dilarang sama sekali untuk memiliki atau menggunakannya, katanya seperti dilapor oleh Bernama.

Ahmad Hasbullah berkata isu itu sudah lama dibangkitkan, namun sehingga kini, pemakaian pakaian menyerupai seragam tentera dalam kalangan orang awam masih lagi berleluasa berikutan penguatkuasaan yang lemah.

“Setakat mana penguatkuasaan (larangan memakai pakaian menyerupai seragam tentera) perlu ditanya kepada pihak berkuasa yang menguatkuasakannya kerana tentera tidak ada bidang kuasa itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Markas Taktikal Tentera Pos Keningau, di sini semalam.

Pembekal pakaian atau peralatan tentera juga seharusnya peka mengenai perkara itu dan tidak menjual pakaian seragam tentera kepada orang awam, ujarnya.

“Pembekal tahu ia (menjual pakaian seragam tentera) satu kesalahan dan sepatutnya mereka tidak menjualnya kepada orang awam,” katanya sambil berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu bagi menangani isu berkenaan.

Berdasarkan akta sedia ada, Seksyen 140 Kanun Keseksaan menyatakan sesiapa yang bukan askar, kelasi atau juruterbang dalam perkhidmatan tentera, memakai pakaian atau membawa apa-apa tanda menyamai seorang askar, dengan niat menyamar askar boleh dihukum tiga bulan penjara, denda RM1,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Seksyen 16 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) pula menggariskan satu kesalahan iaitu mereka yang memiliki secara haram barang kepunyaan askar atau polis boleh dikenakan denda tidak lebih RM50 atau tidak lebih enam minggu penjara atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu mengikut Seksyen 25 akta sama, ia menyebut secara umum iaitu peniruan warna atau lambang yang menyamai seragam tentera atau polis boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM50 atau pakaian yang dipakai dilucut haknya.

Manakala Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), Seksyen 9. (1) pula menyebut penggunaan atau pemakaian tanpa kuasa yang sah uniform tentera atau polis atau apa yang seumpamanya hingga mampu memperdaya, hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun, boleh dikenakan.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!