Home Politik PRK Cameron Highlands 26 Januari 2019

PRK Cameron Highlands 26 Januari 2019

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 19 Dis – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Januari 2019 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands, Pahang.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata penamaan calon pula ditetapkan pada 12 Januari tahun depan manakala tarikh mengundi awal ditetapkan pada 22 Januari.

Menurut Azhar, sebanyak 32,009 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini pada November lalu.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari, bermula pada hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam 25 Jan 2019,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat urusan PRK Cameron Highlands, di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, buat kali pertama dalam sejarah, SPR akan menyiarkan proses pengiraan undi PRK ini secara langsung melalui media sosial SPR seperti Facebook dan Instagram.

“Kita akan ambil kira kesesuaiannya di satu saluran di pusat mengundi yang dipilih. Usaha ini adalah sebagai pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai proses pengiraan undi semasa pilihan raya,” katanya.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah terbatal dan tidak sah ekoran berlakunya amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU-14, Sivarraajh yang juga merupakan Naib Presiden MIC menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari PKR yang memperoleh 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd. Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B. Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (680 undi).

 

Related Articles

Leave a Reply