Home PolitikBarisan Nasional MCA ada atau tidak, dalam BN tiada beza – Tajuddin

MCA ada atau tidak, dalam BN tiada beza – Tajuddin

by Air Times News Network

KANGAR, 3 Dis – Tiada bezanya sama ada MCA berada di dalam Barisan Nasional (BN) atau sebaliknya kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin menyifatkan hal demikian kerana, setiap kali pilihan raya hanya UMNO yang gigih bekerja sedangkan MCA tidak membantu.

“Terpulanglah kepada dia (MCA) hendak tinggalkan BN atau tidak. Tidak ada beza (kewujudan MCA) kerana setiap kali pilihan raya kita yang buat kerja.

“MCA ini DAP menang dia untung, kalau dia menang lagi untung,” katanya dalam sidang akhbar selepas Himpunan Aman Rakyat Tolak ICERD di Kompleks Pas di sini, malam tadi.

Perhimpunan Agung MCA ke-65 semalam sebulat suara meluluskan resolusi untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pusat memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata, BN telah mengalami kecondongan kuasa yang amat ketara dan setiap parti komponen memerlukan penghayatan dan penilaian semula bagi mentransformasikan parti masing-masing.

Sementara itu, memetik lapor Utusan Online, Tajuddin berkata, fokus UMNO pada masa ini adalah memperkukuhkan blok pembangkang melalui kerjasama dengan Pas.

Katanya, kedua-dua parti itu perlu melihat ke hadapan dan membina kekuatan politik untuk mendapatkan kembali kuasa orang Melayu dan Islam.

“Untuk menjaga kepentingan orang Melayu Islam, kita kena ada kuasa. Kita akan berusaha keras ke arah itu melalui kerjasama dengan Pas,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply