Home Semasa Tak sesuai bina jambatan bengkok sekarang – Azmin

Tak sesuai bina jambatan bengkok sekarang – Azmin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembinaan jambatan bengkok tidak sesuai dilaksanakan sekarang berdasarkan ekonomi negara, sebaliknya keutamaan kerajaan ialah projek yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat.

“Ia dicadangkan oleh menteri besar Johor, tetapi berdasarkan situasi fiskal negara kita, (ia) tidak sesuai buat masa sekarang,” katanya selepas taklimat tertutup Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 kepada ketua pengarang agensi media di bangunan Parlimen hari ini.

“Keutamaan adalah (projek) yang boleh mendatangkan kebaikan kepada rakyat,  seperti projek pembinaan hospital, sekolah, jalan raya itu yang perlu diberikan kepada rakyat, yang beri kebaikan kepada mereka.” Tambahnya lagi.

Beliau merujuk kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian semalam yang projek kontroversi jambatan bengkok menghubungkan negeri itu dan Singapura, dalam perancangan semula.

Azmin berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan kedudukan kewangan negara sebelum melaksanakan sesebuah projek dan cadangan membina jambatan bengkok akan dipertimbangkan apabila kewangan negara bertambah baik.

“Perlu utamakan projek infrastruktur, tapi saya pasti kerajaan negeri akan suarakan perkara ini di peringkat persekutuan.

“Bila sudah terima cadangan, barulah menteri akan lihat perkara ini, sama ada kita ada kapasiti pada masa ini untuk terus projek atau kita boleh pertimbangkan bila situasi sesuai untuk kita.”

Jambatan bengkok atau Jambatan Indah diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 1996, tetapi perbincangan untuk membinanya menemui jalan buntu sehingga menyebabkan ia dibatalkan pada 2006.

Idea pembinaan jambatan bengkok tercetus kerana Singapura tidak mahu mengubah Tambak Johor yang menjadi struktur penghubung di sempadan negaranya.

Seni bina jambatan bengkok itu lebih tinggi bagi membolehkan kapal kecil melepasi Selat Johor namun Singapura enggan berkompromi dengan konsep itu.

Related Articles

Leave a Reply