Beliau berkata Jepun akan berkongsi kepakaran dalam pembangunan sukan bola sepak dan badminton serta pemindahan pengetahuan dan teknologi dalam sains sukan.

“Perkongsian kepakaran dalam bidang sukan merupakan antara tumpuan pemerkasaan dasar itu selain pertukaran pemimpin muda sebagai persediaan menjadi pemimpin di masa depan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan tajaan dan memperkenalkan kontinjen Malaysia bagi Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) ke-45/2018 di sini hari ini.

Menurutnya, Duta Besar Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa telah menawarkan untuk membantu Malaysia dalam memantapkan pembangunan sukan bola sepak dan badminton selain menawarkan pasukan bola sepak Malaysia untuk berlatih di gelanggang di Jepun.

Syed Saddiq berkata walaupun Malaysia mempunyai Institut Sukan Negara (ISN) namun kemajuan Jepun dalam sains sukan adalah begitu pantas.

“Fokus utama kementerian ialah bagi membawa kepakaran Jepun untuk membantu kita melalui pemindahan teknologi dan pengetahuan, iaitu kita mewarisi kepakaran selepas mereka kembali ke negara mereka,” katanya.

Syed Saddiq berkata kementerian itu tidak lagi boleh bergantung kepada pakar luar yang digajikan secara sepenuh masa, yang mana kepakaran dan pengetahuan tidak berpindah seperti sepatutnya, yang akan merugikan negara apabila tempoh perkhidmatan mereka berakhir.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata kebajikan para atlet Sukan Para Asia 2018 akan dipastikan terbela termasuk soal pembayaran insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara kepada semua penyumbang pingat.

“Mereka tidak perlu risau, soal kebajikan, pemberian insentif yang sama rata merupakan keutamaan kementerian,” katanya mengulas kebimbangan pihak tertentu kemungkinan pembayaran imbuhan SHAKAM kepada penyumbang pingat pada temasya di Jakarta, Indonesai itu dikurangkan.

Mengikut rekod, pemenang pingat emas di Sukan Para Asia layak menerima insentif SHAKAM berjumlah RM80,000, manakala peyumbang perak dan gangsa masing-masing RM40,000 dan 20,000.

Mengenai SSEAYP, Syed Saddiq mahu 29 peserta yang terpilih dapat menggunakan peluang itu bagi membuktikan generasi muda Malaysia berupaya diketengahkan sebagai bakal pemimpin negara di masa hadapan.

Katanya interaksi pemimpin muda itu bersama peserta antarabangsa lain sepanjang lebih 50 hari program akan mampu menyerlahkan Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni dan menjadi pemimpin di rantau Asia Tenggara. – Bernama