Home Pertahanan dan Keselamatan ATM mohon bina kem kekal Markas 13 Briged

ATM mohon bina kem kekal Markas 13 Briged

by Nurulhuda

LAHAD DATU, 8 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pertahanan serta kerajaan bagi kelulusan membina kem kekal Markas 13 Briged di Felda Sahabat, Tungku dekat sini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata perkara itu perancangan jangka panjang ATM bagi menempatkan Markas 13 Briged (Esscom) Kem Cenderawasih yang kini menggunakan kolej lama di Felda Sahabat.

“Perancangan memang ada bagi menempatkan 13 Briged ini, kerana sekarang (kem) ini penempatan sementara,” katanya di Markas 13 Briged (Esscom) Kem Cenderawasih, dekat sini, semalam.

Zulkifli mengikuti Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang membuat lawatan kerja rasmi dua hari ke kawasan operasi di sekitar Tawau, Semporna dan Lahad Datu yang bermula semalam.

Sementara itu, katanya wakil angkatan tentera iaitu Panglima Angkatan Petugas 450 akan bertindak memberi nasihat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Shafie Apdal sekiranya perlu berhubung soal keperluan perpindahan sebahagian aset dan anggota ketenteraan.

Zulkifli mengulas demikian berhubung wujud cadangan kerajaan negeri untuk memindahkan sebahagian aset keselamatan dan anggota dari Kem Lok Kawi untuk ditempatkan di kawasan ancaman di Pantai Timur Sabah.

“Saya rasa perkara itu dibincangkan di pihak Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN), jadi saya yakin bahawa wakil tentera sentiasa beri nasihat pada Pengerusi JKKN iaitu ketua menteri untuk tindakan, jika perlu,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply