Home Semasa Jangan abai agama untuk penuhi gaya hidup – Tengku Abdullah

Jangan abai agama untuk penuhi gaya hidup – Tengku Abdullah

by Nurulhuda

KUANTAN, 11 Sept – Umat Islam diingatkan untuk tidak mengabaikan tuntutan agama hanya untuk memenuhi gaya hidup ciptaan manusia masa kini, titah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah ajaran Islam tidak boleh sesekali diabaikan walaupun atas nama kemajuan atau pemodenan, menyebabkan penting untuk semua pihak memperkukuhkan akidah masing-masing.

Selain itu, Tengku Abdullah juga mengingatkan kepimpinan kerajaan negeri Pahang untuk tegas menangani cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu memecahbelahkan atau memesongkan pegangan umat Islam.

“… ini kerana perpecahan akan berlaku apabila wujud pelbagai fahaman, ajaran dan falsafah yang boleh menggugat akidah umat,” titah baginda semasa berucap merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Pahang 2018 di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad 1 di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis yang bertemakan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Kerja Raya Anuar Tahir, dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pelajaran dan Kesihatan negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Tengku Abdullah seterusnya menggesa umat Islam menghayati erti pengorbanan yang ditunjukkan Rasulullah SAW, golongan Muhajirin dan Ansar pada peristiwa Hijrah yang menjadi titik permulaan kepada kegemilangan Islam.

“Peristiwa hijrah mempunyai pengertian mendalam kepada umat Islam dan seharusnya mengajar kita untuk berani berhijrah bagi mencapai matlamat yang lebih baik.

“Amat jelas dalam menjayakan sesuatu, umat Islam harus bersedia melakukan pengorbanan tanpa berbelah bahagi selain memerlukan perpaduan sesama umat Islam,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah kesediaan masyarakat Muhajirin dan Ansar bersatu dan saling menerima antara satu sama lain juga perlu dijadikan iktibar umat pada masa kini.

Related Articles

Leave a Reply