KUALA LUMPUR 3 Sept – Jeneral Dato’ Sri Hj Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi dilantik Panglima Tentera Darat yang baharu berkuatkuasa hari ini menggantikan Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim yang bersara wajib.
Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas antara Jeneral Dato’ Sri Ahmad Hasbullah dan Jeneral Tan Sri Zulkiple turut disaksikan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong.
Panglima Tentera Darat Ke-27
Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah, 57, pernah memegang jawatan Panglima Medan Tentera Darat pada 2009 sebelum dilantik Timbalan Panglima Tentera Darat pada 2011.
Anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Disember 1981.
Selain itu, beliau pernah menjadi Pengarah Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama tiga tahun bermula 1 April 2001 dan berperanan mengubah dasar Skim Pengajian Tinggi ATM apabila cuti melanjutkan pengajian bergaji penuh diluluskan.
Beliau pernah terlibat secara langsung dalam memerangi ancaman komunis di sempadan tanah air sehinggalah perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya (PKM) pada 2 Disember 1989.
Perlaksanaan 4 teras untuk kecemerlangan Tentera Darat Malaysia
Sementara itu, Ahmad Hasbullah dalam ucapannya berkata, beliau akan memastikan empat teras yang digariskan Panglima ATM dapat dilaksanakan bagi memastikan Tentera Darat kekal cemerlang.
Teras yang dimaksudkan adalah Angkatan Profesional, Ketumbukan yang Siap Siaga, Keutuhan Organisasi dan Memperkasa Kualiti Hidup, yang digariskan oleh Panglima Angkatan Tentera bagi memastikan ATM kekal relevan serta cemerlang dalam menjaga kedaulatan negara.
“Hari ini amanah dan tugasan telah diterima dan saya berdoa memohon kekuatan untuk memimpin Tentera Darat. Segala khidmat nasihat serta agenda Kementerian Pertahanan akan disokong demi kecemerlangan Tentera Darat,” katanya.
“Pada kesempatan ini juga, saya ingin menjunjung kasih kepada Yang di- Pertuan Agong (Sultan Muhammad V) di atas perkenan (baginda) menyokong pelantikan saya.
“Ucapan terima kasih juga kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Menteri Pertahanan (Yang Berhormat Mohamad bin Sabu) yang turut menyokong saya dilantik Panglima Tentera Darat yang baharu.
“Saya memohon kepada Allah untuk diberikan hidayah dan kekuatan bagi menjalankan tugas itu seperti yang dipertanggungjawabkan,” katanya berucap pada majlis itu di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.