Home Pertahanan dan Keselamatan Askar didakwa salah guna wang

Askar didakwa salah guna wang

by Nurulhuda

KUANTAN, 3 Sep – ANGGOTA tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini kerana salah guna wang yang bukan miliknya berjumlah RM36,113.32 pada Mac dan April lalu.

Tertuduh Koperal Hafizan Mohd Norwawi, 30, yang bertugas sebagai pembantu automotif di Kem Batu 10 Kuantan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nor Azizah Aling.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa menyalahgunakan wang milik anggota polis yang ditunaikan olehnya pada 28 Mac hingga 22 April lalu di mesin juruwang automatik (ATM) Maybank dekat Stesen Petronas Jaya Gading, Kuantan.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun bersama sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor P Prabu manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang memakai baju T berwarna putih dan hitam memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan perlu menanggung ibu bapanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Related Articles

Leave a Reply