Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Orang awam tidak perlu khuatir akan aset TUDM

Orang awam tidak perlu khuatir akan aset TUDM

by Air Times News Network

SUBANG, 21 Ogos – Orang ramai tidak perlu bimbang dengan kekuatan pertahanan udara negara kerana aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) secara keseluruhan masih boleh digunakan, kata Ketua Bahagian Operasi No 11 Skuadron Lt Kol Faisal Abu Bakar TUDM.

“Secara keseluruhannya, kekuatan ketenteraan udara kita dan aset di TUDM dalam keadaan baik. Jadi orang awam tidak perlu bimbang dan beranggapan tentera udara dan aset ketenteraan TUDM lemah,” katanya ketika ditemui selepas sesi eksesais HOP (EX HOP) antara TUDM dan Tentera Udara India (IAF) di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, sistem operasi dan aset TUDM boleh dijaga dengan lebih rapi sekiranya mendapat bajet tambahan daripada pihak kerajaan.

“Ada antara aset kita yang sudah berusia 10 tahun dan memerlukan penjagaan lebih rapi supaya kita boleh pakai lebih lama. Sekiranya mendapat bajet lebih daripada kerajaan itu lebih baik untuk kita (TUDM),” katanya.

Beliau berkata demikian apabila ditanya akan kebolehgunaan aset TUDM, termasuk jet pejuang, kerana masalah penyenggaraan ekoran kekurangan peruntukan.

Sementara itu, EX HOP yang berlangsung dari 20 hingga 23 Ogos ini dalam bentuk latihan medan turut menyaksikan dua juruterbang dari No 11 Skuadron (SKN) TUDM menerbangkan pesawat Sukhoi SU-30MKM di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Pada masa yang sama, seorang juruterbang dari TUDM turut terbang bersama juruterbang IAF menaiki pesawat SU-30MKI milik IA.

Sebelum itu, Faisal berkata melalui eksesais itu TUDM dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pesawat sedia ada untuk ditambah baik pada masa hadapan.

“Melalui eksesais ini, kita ambil perhatian maklumat penting melalui maklum balas daripada IAF apabila juruterbang mereka menaiki pesawat Sukhoi kita dan sebaliknya.

“EX HOP dianjurkan selepas eksesais Pitch Black baru-baru ini, dan kita dapati 90 peratus keupayaan pesawat kita adalah sama dengan pesawat IAF, cuma kita lebih baik dari segi sistem avionik (sistem elektronik dalam pesawat) dan ini perkara positif,” katanya – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply